suria

Akhirnya WhatsApp Kembali Aktif Di Brazil

RIO DE JANEIRO: Selepas dilarang penggunaannya, WhatsApp akhirnya bakal mewarnai kehidupan penduduk Brazil selepas mendapat kebenaran mahkamah kembali aktif.

Ia susulan keputusan hakim yang menerima rayuan pemilik aplikasi itu, Facebook supaya perkhidmatan pesanan popular tersebut dibenarkan di Brazil.

Menurut laporan CNN, WhatsApp yang sebelum ini dilarang penggunaannya dijangka kembali aktif secepat mungkin.

Isnin lepas, seorang hakim telah memerintahkan semua operator telefon menutup perkhidmatan WhatsApp selepas gagal memberikan maklumat bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah.

"Berjuta-juta pengguna WhatsApp di Brazil telah dihukum berkenaan sesuatu yang tiada dalam simpanan kami (maklumat penyeludupan dadah)," kata CEO WhatsApp, Jan Koum.

Menurut Jan, pihaknya berkali-kali mengulangi tidak mempunyai maklumat tersebut tetapi mahkamah tetap berdegil.

"Kami tidak simpan maklumat perbualan WhatsApp. Setiap mesej juga dikod untuk privasi pengguna," jelas Jan.

Pada Disember lepas, perkhidmatan WhatsApp pernah dihentikan selama 48 jam selepas gagal menurut perintah mahkamah.

WhatsApp, Brazil, dadah

Artikel Sebelum

Artikel Lain