suria

Kotak Hitam FlyDubai Rosak Teruk

ROSTOV-ON-DON: Data dan rakaman suara pada kotak hitam pesawat FlyDubai mengalami kerosakan teruk selepas terbakar dan terhempas berhampiran landasan lapangan terbang di Rusia, minggu lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa melibatkan pakar penerbangan berusaha menganalisis kotak hitam berkenaan bagi mendapatkan maklumat berhubung kejadian yang mengorbankan 62 nyawa itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerbangan Antara-Negeri itu, Sergei Zaiko berkata pihaknya sudah mula menganalisis kotak hitam yang dilengkapkan dengan perakam data pesawat berkualiti tinggi itu.

"Kotak hitam itu sedang dianalisis di Moscow oleh pakar dari Russia, Emiriah Arab Bersatu dan Perancis. Pesawat Boeing buatan Amerika Syarikat itu dijana engin buatan Perancis," katanya seperti dilapor media tempatan.

Pesawat 737-800 milik FlyDubai berlepas dari Dubai terhempas dan meletup seperti bola api besar sebelum waktu awal pagi selepas cuba mendarat buat kali kedua ketika angin kencang di bandar Rostov-on-Don.

FlyDubai mengesahkan kesemua 62 penumpang dan kru di dalam pesawat itu terkorban di mana kebanyakannya adalah warga Rusia.

Beberapa pesawat lain turut mengalami masalah ketika cuba mendarat sewaktu kejadian berkenaan.  - AP

FlyDubai, Rusia, Sergei Zaiko

Artikel Lain