suria

Jenazah Militan Belum Dituntut Keluarga

Anton menunjukkan gambar Ahmad Muhazan yang terkorban dalam serangan bersenjata dan pengeboman di Jakarta, Khamis.

JAKARTA: Seminggu selepas tragedi serangan bersenjata dan pengeboman di bandaraya ini, jenazah seorang daripada empat militan yang terkorban masih belum dituntut.

Sehingga kini, jenazah pengganas terlibat masih berada di bilik mayat Hospital Soekanto di sini.

Detik.com melaporkan, pengganas yang maut dalam serangan itu ialah Dian Juni Kurniadi, Muhamad Ali, Afif alias Sunakim dan Ahmad Muhazan Saron.

Pengarah Eksekutif Unit Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Ibu Pejabat Polis Indonesia, Pesuruhjaya Kanan Anton Castilani berkata, hanya waris Ahmad Muhazan belum tampil menuntut jenazahnya.

"Kami memerlukan kerjasama keluarga si mati untuk menghantar dokumen berkaitan dan melakukan proses pengecaman supaya kami boleh mengesahkan secara rasmi kematiannya," katanya.

Menurut Anton, pihaknya belum boleh menyerahkan jenazah militan terbabit kepada keluarga masing-masing kerana menunggu siasatan lengkap daripada polis antikeganasan Indonesia atau Densus 88.

Media tempatan sebelum ini melaporkan penduduk di Kedungwungu, Jawa Barat enggan membenarkan jenazah Ahmad Muhazan dikebumikan di kampung mereka. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain