Kes Kren Tumbang Masjidil Haram Ke Mahkamah

MAKKAH: Kertas siasatan tragedi kren tumbang di Masjidil Haram akan dilengkapkan sebelum beberapa individu dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Setakat ini, jurutera, pengurus projek serta pegawai terlibat antara yang akan dibawa ke muka pengadilan.

Ketika ini, Biro Siasatan dan Pendakwaan Awam (BIPP) di Riyadh telah membuka kembali fail kes yang mengorbankan 107 nyawa itu.

Arab News memetik sumber sebagai berkata, pendakwaan mungkin menjurus kepada pembunuhan, kecuaian dan melanggar peraturan keselamatan.

"Kes mahkamah akan memberi tumpuan kepada bagaimana kren didirikan di masjid itu, dengan mengambil kira bilangan besar orang ramai yang berada di dalam kawasan tersebut," kata sumber itu.

Pemerintah Arab Saudi Raja Salman mengarahkan BIPP untuk menyiasat insiden berkenaan termasuk menyoal siasat eksekutif dan kakitangan syarikat kontraktor, Bin Laden Group.

September tahun lalu, seramai 107 jemaah maut dan 238 yang lain cedera dalam kejadian kren tumbang dipercayai akibat ribut. 

kren, Masjidil Haram, Raja Salman, BIPP

Artikel Sebelum

Jenazah Militan Belum Dituntut Keluarga

Artikel Berikut

Artikel Lain