suria

Kemalangan Feri Berkelajuan Tinggi, 100 Penumpang Cedera

HONG KONG: Sekurang-kurangnya 100 orang cedera apabila feri berkelajuan tinggi yang dalam perjalanan dari Hong Kong ke Macau melanggar objek yang tidak dikenalpasti di dalam air, pada Ahad.

Gambar-gambar menunjukkan penumpang yang cedera di usung keluar dari bot, sebahagiannya memakai topeng oksigen dan dibawa ke jeti di pusat bandar Hong Kong untuk menunggu ambulans.

Pihak berkuasa menerima panggilan mengenai feri yang membawa 163 penumpang dan 11 kru selepas bot hilang bekalan kuasa terbabit dalam kemalangan di Siu A Chau, berdekatan dengan Pulau Lantau pada pukul 6.00 petang waktu Singapura.

"Setakat ini difahamkan kira-kira 100 orang tercedera," kata jurucakap kerajaan dalam satu kenyataan.

Media tempatan melaporkan operasi menyelamat besar-besaran dilancarkan melibatkan perkhidmatan udara, polis marin dan jabatan bomba sebelum bot itu ditunda balik ke Pulau Hong Kong.

Seorang wartawan AFP di lokasi kejadian melihat lebih kurang 20 ambulans menunggu di jeti selepas penumpang memberi kenyataan kepada polis.

Penumpang menggambarkan keadaan huru-hara selepas bot hilang bekalan kuasa dan ramai penumpang cedera.

"Keadaan sangat gelap. Ramai penumpang yang cedera dan ramai yang mengalami luka," kata salah seorang penumpang kepada Apple Daily.

Menurut operator feri, Shun Tak, kemalangan berlaku apabila feri laju melanggar objek yang tidak dikenalpasti di dalam air. Pihak berkuasa kemudian mengesahkan 51 penumpang masih di atas feri sementara pasukan perubatan merawat penumpang yang cedera.

Keselamatan di perairan Hong Kong menjadi tanda tanya selepas kemalangan yang menyebabkan 39 penumpang terbunuh apabila feri berkelajuan tinggi bertembung dengan bot berdekatan Pulau Lamma pada 2012.

Tragedi itu menggemparkan pusat kewangan Asia kerana pelabuhan itu salah satu pelabuhan tersibuk di dunia dengan rekod keselamatan yang baik. Pada Jun lepas, lebih dari 50 penumpang cedera apabila feri sempadan Macau melanggar tembok laut di persisiran pantai wilayah itu. -AFP

Hong Kong, Feri

Artikel Lain