suria

Tragedi Mina: Lima Jemaah Indonesia Terkorban

Pihak berkuasa Arab Saudi menguruskan jenazah lebih 700 jemaah haji untuk dikebumikan.

JAKARTA: Indonesia masih mengumpul maklumat bagi mengesan sama ada lebih ramai jemaahnya terlibat dalam kejadian rempuhan di Mina selepas lima rakyatnya terkorban dalam tragedi pada Khamis.

“Kami mengumpul lebih banyak maklumat bagi mencari sekiranya ada lagi jemaah Indonesia maut atau cedera,” kata Pegawai penyelaras haji Indonesia di Makkah, Arsyad Hidayat.

Pada masa sama, wakil Duta Besar Indonesia di Arab Saudi, Sunarko berkata kedutaan juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memantau sekiranya ada lagi jemaah Indonesia terbabit dalam tragedi berkenaan.

Beliau berkata, mangsa yang terkorban belum dapat disahkan identitinya.

“Daripada maklumat yang kami terima lima jemaah Indonesia terkorban dalam tragedi berkenaan.

“Kami kini berusaha mengenal pasti identiti semua mangsa,” katanya.

Selain itu, kata Arsyad lagi, seorang jemaah yang maut adalah lelaki.

“Ketika kejadian mangsa bersama isteri dan seorang lagi ahli keluarganya,” katanya.

Media tempatan melaporkan, isteri dan ahli keluarga jemaah berkenaan tidak cedera dalam kejadian itu.

Kejadian rempuhan itu tercetus selepas ribuan jemaah berasak-asak di laluan yang menuju ke tempat melontar jamrah.

Setakat ini lebih 700 jemaah dilaporkan terkorban dan kira-kira 800 lagi cedera. 


Mina, Indonesia, Sunarko

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain