NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membenarkan Palestin mengibarkan benderanya di ibu pejabat badan dunia itu di bandaraya ini sebagai simbolik bagi menyokong aspirasi penubuhan negara itu. Perhimpunan Agung itu mengundi draf resolusi berkenaan yang mendapat sokongan 119 negara, lapan menentang termasuk Israel dan Amerika Syarikat, manakala 45 lagi berkecuali. “Perkara ini simbolik tetapi ia juga satu lagi langkah untuk mengukuhkan negara Palestin di arena antarabangsa,” kata wakil Palestin ke PBB, Riyad Mansour. Resolusi itu akan membolehkan bendera Palestin yang memiliki status pemerhati dikibarkan bersama-sama bendera negara anggota PBB. Kini, PBB diberi masa 20 hari untuk melaksanakan langkah tersebut menjelang lawatan Presiden Mahmoud Abbas pada 30 September ini. Riyad berkata, inisiatif itu berpotensi memberi harapan kepada rakyat Palestin bahawa masyarakat antarabangsa masih menyokong kemerdekaan negara bergolak itu. “Situasi kini suram, muram, manakala proses politik sudah mati dan Gaza pula menderita. Bendera ini ibarat api lilin yang terus menghidupkan harapan rakyat Palestin,” tambahnya lagi. – AFP