suria

Jerebu Sekitar Kalimantan Barat Makin Serius

PONTIANAK: Sebanyak 14 wilayah dan bandar di sekitar Kalimantan Barat berdepan situasi jerebu yang semakin serius sejak beberapa hari lalu berikutan kebakaran hutan yang merebak dengan pantas.

Setakat ini, tahap kecemasan dinaikkan kepada berjaga-jaga  pada 8 Julai lalu dan ia mungkin berterusan hingga November ini.

“Tahap itu dinaikkan selepas indeks kualiti udara di sini mencatatkan bacaan tidak sihat,” kata Ketua Agensi Bantuan Bencana Kalimantan Barat, Nyarong.

Beberapa pegawai memberitahu lebih 995 hektar hutan kini musnah dalam kebakaran.

Agensi Meteorologi, Kaji cuaca dan Geofizik memberitahu, pada Rabu lalu terdapat 614 titik panas yang menandakan kebakaran hutan dikesan di Kalimantan Barat.

Jerebu berpunca dari asap kebakaran hutan itu menyebabkan jarak penglihatan menurun daripada dua kilometer kepada sekitar 600 meter.

Agensi Kesihatan Kalimantan Barat pula melaporkan, kesihatan penduduk kawasan turut terjejas dengan kira-kira 18,000 kes jangkitan pernafasan ringan dan 1,922 jangkitan akut dilaporkan dari Januari hingga Ogos lalu.

Sementara itu, Datuk Bandar Pontianak, Sutarmidji mengumumkan semua sekolah ditutup tiga hari bermula Khamis.


jerebu, Kalimantan Barat

Artikel Berikut

Artikel Lain