suria

Hampir 200,000 Penduduk Jepun Hadapi Bencana Alam

Penduduk yang terperangkap terpaksa memanjat ke bumbung kediaman sementara menunggu pasukan keselamatan menggunakan helikopter untuk menyelamatkan mereka.

TOKYO: Hampir 200,000 penduduk sekitar Jepun diarah berpindah selepas pihak berkuasa negara itu bimbang risiko yang mendatang susulan hujan lebat yang mengakibatkan air sungai melimpah hingga berlakunya tanah runtuh.

Bencana itu juga menyebabkan banyak kediaman tertimbus, sekaligus merosakkan harta benda penduduk negara matahari terbit itu.

Agensi Kaji Cuaca Jepun mengeluarkan amaran hujan lebat di wilayah Tochigi dan Ibaraki, utara Tokyo dan meminta orang ramai berwaspada berhubung kejadian banjir dan tanah runtuh.

“Hujan lebat yang berterusan ini tidak pernah dialami sebelum ini. Ancaman bahaya mungkin tidak dapat dielakkan,” kata pakar kaji cuaca, Takuya Deshimaru pada sidang akhbar tergempar yang diadakan pada Khamis.

Sebahagian kawasan tengah Tochigi menerima hampir 60 sentimeter hujan sejak petang Isnin lalu.

Pihak berkuasa di Tochigi mengarahkan lebih 90,000 penduduk untuk berpindah, sementara 80,000 lagi dinasihatkan agar meninggalkan kediaman masing-masing, demikian dilaporkan stesen televisyen NHK.

Pusat pemantauan cuaca di Kochigi pula memaklumkan air sungai Kinugawa yang mengalir melalui wilayah Ibaraki melimpah awal pagi Khamis. 


Jepun, tanah runtuh, Tochigi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain