suria

Jerebu: Indonesia Hantar Ribuan Tentera Atasi Masalah Kebakaran

PADAMARAN (Indonesia): Indonesia pada Jumaat akan menghantar lebih 10,000 tentera untuk menangani masalah kebakaran di selatan Sumatera berikutan asap kebakaran itu mengakibatkan beribu-ribu orang sakit, jadual penerbangan terpaksa ditundakan selain paras kualiti udara yang tidak sihat di negara jiran Malaysia dan Singapura.

Indonesia sebelum ini berikrar untuk menamatkan isu kebakaran berleluasa secara bermusim di negaranya tetapi sering gagal mengatasinya sehingga menyebabkan masalah jerebu.

Pasukan tentera Indonesia akan dihantar ke wilayah Sumatera Selatan dan Jambi, dua kawasan panas utama, kata Agensi Pencegahan Bencana Kebangsaan (BNPB).

Agensi itu turut akan menghantar beberapa helikopter sebagai tambahan bagi membantu menggunakan kaedah bom air, sekiranya diperlukan.

"Kita menggerakkan sumber negara untuk memadamkan api," kata Ketua BNPB yang baharu dilantik, Willem Rampangilei dalam satu kenyataan media.

Sumatera Selatan merupakan salah satu kawasan utama yang dilanda kebakaran, dengan 22,585 kes jangkitan akut pernafasan sejak Jumaat.

Pada pagi Jumaat, bacaan Indeks Standard Pencemaran Udara Singapura meningkat kepada 248 yang menunjukkan tahap "sangat tidak sihat", hanya satu parasa di bawah indeks pencemaran tertinggi bagi kategori "bahaya". - Reuters


Artikel Lain