suria

11 Mati Dipijak, Sesak Nafas

Sebahagian pengunjung kuil yang maut dalam kejadian rempuhan, awal pagi Isnin.

NEW DELHI: Tindakan ribuan penganut Hindu memotong barisan sepanjang enam kilomter (km) dan merempuh masuk ke kuil di timur India untuk beribadah mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 terbunuh akibat sesak nafas dan dipijak.

Kejadian awal pagi Isnin itu berlaku di kuil Baidyanath Jyotirlinga di Jharkhand selepas pengunjung yang berhimpun di luar rumah ibadat itu sepanjang malam mendengar pintu pagar dibuka.

Akibatnya beberapa penganut yang masih tidur kira-kira satu kilometer dari pintu masuk dipijak orang ramai dalam kejadian antara jam 4 hingga 4.30 pagi itu.

Insiden itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Narendra Modi yang menyatakan kesedihannya kerana kehilangan nyawa rakyatnya menerusi Twitter.

Timbalan Ketua Polis Jharkhand, SN Pradhan berkata, mereka mula berhimpun di luar kompleks yang menempatkan kuil utama dan 21 yang lebih kecil itu sejak awal pagi untuk beribadah pada bulan Shravan.

"Kami menganggarkan 100,000 hingga 150,000 yang berhimpun di sini. Upacara pertama dikendalikan sami sebelum pintu kuil dibuka untuk orang ramai.

“Ramai yang berpusu-pusu mahu ke depan menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut dan ada yang dipijak mati. Setakat ini 11 disahkan mati, tetapi kira-kira 20 lain yang cedera kini dalam keadaan stabil,” kata Pradhan.

Ahli Parlimen Nishikant Dubey berkata, ramai yang berjalan kaki dari jauh semata-mata mahu melakukan ibadat di situ menyebabkan mereka tidak sabar memasuki kompleks kuil sebaik dibenarkan.

“Ada yang berjalan lebih 90km dan tidak sabar untuk berbaris panjang,” katanya.

Rempuhan kerap berlaku ketika keraian agama di India. Bulan lalu, sekurang-kurangnya 27 maut selepas rempuhan di tebing sungai dianggap suci di Rajahmundryu.




Jharkhand, Shravan

Artikel Berikut

Artikel Lain