suria

Selepas Dua Bulan Berlalu Turki Masih Tanpa Kerajaan

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi tempoh sehingga 23 Ogos ini untuk parti-parti yang memenangi kerusi terbanyak di Turki membentuk kerajaan baru. Turki gagal membentuk sebuah kerajaan baru dua bulan selepas pilihan raya negara itu selesai.

ANKARA: Dua bulan selepas pilihan raya umum berlalu, Turki masih lagi bergelut untuk membentuk kerajaan baru dengan parti yang memerintah sebelum ini iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) masih terus berunding dengan seteru utama mereka Parti Republikan Rakyat (CHP).

Pilihan raya umum Turki diadakan pada 7 Jun lalu tanpa ada mana-mana parti yang mampu membentuk sebuah kerajaan mutlak dan Perdana Menteri sementara, Ahmet Davutoglu dari AKP menegaskan mereka masih meneruskan rundingan dengan pemimpin CHP, Kemal Kilicdaroglu untuk membentuk sebuah kerajaan campuran.

Pertemuan selama empat jam itu menurut Ahmet menampakkan satu konsensus dapat dicapai bagi membentuk sebuah kerajaan campuran.

AKP gagal memenangi undi majoriti untuk pertama kali dalam pilihan raya umum Turki sejak mengambil alih kuasa pada 2002.

Satu-satunya jalan untuk AKP terus berkuasa kini ialah melalui pembentukan kerajaan campuran.

AKP sebelum ini diketuai oleh Recep Tayyip Erdogan, yang kini merupakan presiden negara itu.

Erdogan mahu mengubah sistem pemerintahan di Turki kepada sistem presiden dengan kuasa penuh dipindahkan ke tangan presiden dan bukan lagi perdana menteri.

Harapannya untuk mengubah lanskap politik Turki terbantut dengan kegagalan AKP untuk memenangi semula pilihan raya Jun lalu.

Erdogan kini memberi kata dua kepada Davutoglu yang mereka hanya diberi tempoh sehingga 23 Ogos ini untuk membentuk kerajaan baru dengan AKP atau satu pilihan raya baru akan diadakan sebagai jalan penyelesaian.

Artikel Berikut

11 Mati Dipijak, Sesak Nafas

Artikel Lain