suria

Thailand Dalam Kedudukan Baik Capai Sasaran Pertumbuhan 3 Peratus

BANGKOK: Ekonomi Thailand masih dalam kedudukan yang baik untuk merekodkan pertumbuhan tiga peratus meskipun prestasi eksportnya yang lemah, kata Ketua Hal Ehwal Ekonomi Negara dan Timbalan Perdana Menteri Pridiyathorn Devakula.

Beliau berkata pertumbuhan yang kukuh dalam sektor pelancongan, perbelanjaan kerajaan serta pelaburan swasta, akan mengimbangi penurunan eksport dan membantu mencapai sasaran berkenaan.

"Eksport Thailand yang menyumbang 56 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) susut kira-kira lima peratus pada separuh pertama, manakala dalam sektor pelancongan yang menyumbang 12 peratus KDNK, sudah pun merekodkan pertumbuhan  28 peratus pada separuh pertama," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan kabinet di sini Selasa.

Kerajaan digesa menggantikan atau merombak pasukan ekonomi ekoran pertumbuhan ekonomi yang lemah itu.

Pridiyathorn berkata Thailand bukanlah satu-satunya ekonomi yang berhadapan dengan prestasi eksport yang lemah, yang berpunca daripada prestasi ekonomi dunia yang suram.

Menurutnya beliau tidak mengetahui sama ada terdapat rancangan untuk menukar pasukan ekonomi negara itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan, Apiradi Tantrapron, berkata 10 negara pengeksport utama turut berhadap penurunan dalam jumlah eksport, termasuk Singapura dan Malaysia.

Beliau berkata jumlah eksport kekal dan tidak merosot.

"Hanya nilainya yang susut disebabkan harga minyak dan produk pertanian yang rendah," katanya.

ekonomi, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Lain