suria

100 Maut Akibat Tragedi Letupan Menjelang Syawal

Letupan sebuah trak di depan pasar raya mengakibatkan 100 nyawa melayang menjelang Aidilfitri.

BAQUBA: Tragedi melanda penduduk Khan Bani Saad dekat sini ketika membeli-belah untuk persiapan terakhir Aidilfitri apabila sebuah trak yang sarat muatan bahan letupan tiba-tiba meletup di depan sebuah pasar raya.

Akibat kejadian itu, 100 nyawa melayang, manakala hampir 120 lagi cedera dalam kejadian Khamis.

Pihak berkuasa Iraq percaya, serangan itu dilakukan pengebom berani mati yang meletupkan trak yang dipandunya.

“Sekurangnya 100 orang maut dan cedera,” kata ahli majlis wilayah Diyala, Mohammed Jawad al-Hamadani.

Seorang ahli Parlimen Baquba, Raad Fares al-Mas berkata, letupan yang kuat itu menyebabkan banyak kenderaan dan bangunan berhampiran rosak.

“Ramai wanita dan kanak-kanak yang terbunuh,” katanya.

Rakaman yang disiarkan stesen televisyen Iraq itu menunjukkan kesan kemusnahan akibat letupan berkenaan, termasuk bangunan yang terbakar serta serpihan bertaburan sehingga beratus-ratus meter.

Saksi berkata, ramai penduduk yang cedera dan maut bergelimpangan di jalan raya, manakala penduduk yang terselamat hanya menjerit meminta tolong.

Walaupun Iraq menyambut Aidilfitri Jumaat tetapi majoriti penduduk Khan Bani Saad yang berfahaman Syiah menyambut perayaan itu Sabtu.

Sementara itu, kumpulan militan Negara Islam menerusi  kenyataan di Internet mengaku melancarkan serangan berkenaan.




Khan Bani Saad, Aidilfitri, Iraq

Artikel Lain