suria

27 Maut Masjid Di Kuwait Dibom IS

KUWAIT CITY: Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengadakan serangan bom berani mati di sebuah masjid di Kuwait sehingga mengorbankan 27 orang.

Menteri Kesihatan Kuwait, Ali al-Obaidi memberitahu stesen televisyen negara itu bahawa angka kematian meningkat kepada 27, manakala 222 orang lagi cedera dalam serangan berani mati pertama di masjid di negara yang kaya dengan sumber minyak itu.

Serangan itu berlaku semasa umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramdan.

Terdahulu, AFP melaporkan bahawa sebuah kumpulan yang bergabung dengan IS di Arab Saudi yang menggelarkannya sebagai 'Wilayah Najid' berkata, militan Abu Suleiman al-Muwahhid mengadakan serangan terhadap masjid itu.

Wilayah Najd turut mendakwa mengadakan pengeboman seumpama itu di masjid-masjid lain di Arab Saudi dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Bulan lalu, kumpulan itu mendakwa terlibat dalam dua serangan di masjid Arab Saudi semasa solat Jumaat.

IS turut mendakwa melakukan beberapa serangan di Yaman, dengan yang terakhir hanya berlaku seminggu lalu.

Pada 17 Jun lalu, ia mendakwa mengadakan lima pengeboman serentak di masjid dan pejabat di Sanaa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang dan mencederakan ramai orang.

Bagaimanapun, insiden pada Jumaat merupakan yang pertama berlaku di Kuwait. - AFP

IS

Artikel Lain