suria

1.1 Juta Mangsa Gempa Bumi Nepal Terdedah Krisis Makanan

Porter mengangkut pelbagai barangan termasuk makanan di kawasan tanah tinggi Labja Dorhan di Wilayah Khumbu untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan pedalaman yang berhadapan masalah untuk mendapatkan bekalan.

KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 1.1 juta penduduk di 11 daerah yang teruk dilanda gempa bumi di Nepal baru-baru ini, amat terdedah kepada krisis makanan dan kemungkinan mengalami kebuluran, menurut laporan Kementerian Pertanian Nepal.

Tinjauan keselamatan bekalan makanan yang dijalankan oleh Kementerian Pertanian mendapati mangsa gempa bumi pada 25 April lepas dan gegaran susulan antara 8 dan 20 Mei memerlukan bekalan makanan dari luar dengan segera.

Stok makanan isi rumah telah tertimbus dan tanaman musnah, manakala aktiviti ekonomi kebanyakan keluarga di daerah-daerah dilanda gempa bumi telah terjejas, menyebabnkan kebanyakan keluarga terdedah kepada krisis bekalan makanan, " kata laporan itu.

Bagaimanapun, Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) menganggarkan lebih 1.4 juta mangsa gempa bumi memerlukan bantuan makanan di Nepal.

"Situasi bekalan makanan semakin bertambah buruk di sebahagian besar kawasan terjejas dengan kerosakan ketara kepada stok bekalan makanan isi rumah dan kemerosotan pendapatan dan kebergantungan kepada bantuan makanan terus tinggi," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, 70 peratus daripada isi rumah dalam kajian itu dilaporkan mengalami kerugian sebahagian atau keseluruhan stok makanan mereka.

Kajian dijalankan meliputi kira-kira 1,000 isi rumah di kawasan-kawasan yang terjejas.

Laporan itu mencadangkan kepada kerajaan supaya meningkatkan bantuan kemanusiaan bagi memastikan bekalan makanan yang stabil di kawasan-kawasan dilanda gempa.

Hemaraj Regmi, penyelidik kanan di kementerian itu, berkata penduduk amat memerlukan memerlukan bantuan makanan dengan segera.

"Kehidupan, terutama aktiviti pertanian harian dan aktiviti buruh bukan pertanian teruk terjejas dengan kehilangan pendapatan sebanyak lebih 75 peratus," kata laporan.

Menurut laporan itu, perbelanjaan isi rumah secara keseluruhan menurun  purata sebanyak 13 peratus.

Kajian dijalankan selaras dengan Sistem Pemantauan Bekalan Makanan Nepal  (NKSAP) dengan bantuan teknikal daripada program WFP dan Kluster Keselamatan Makanan.

Bukan sahaja bijirin tetapi benih padi dan jagung serta peralatan pertanian yang penting juga tertimbus di bawah runtuhan di daerah-daerah dilanda gempa bumi. --Bernama

Artikel Sebelum

Sinabung Meletus Lagi

Artikel Berikut

Artikel Lain