suria

Seorang Lagi Warga Indonesia Berdepan Hukuman Mati Di Arab Saudi

Pancung adalah hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh yang didapati bersalah melakukan pembunuhan di Arab Saudi. Gambar Hiasan.

JAKARTA: Seorang warga Indonesia yang melarikan diri ke Yaman ditahan ketika dalam perjalanan untuk dibawa pulang ke negara asalnya kerana disyaki membunuh.

Berikutan penahanan itu, bermakna seorang lagi rakyat Indonesia kini berdepan tuduhan membunuh di Arab Saudi.

Perkara itu disampaikan kepada wartawan di Cikini, Jakarta, Ahad oleh pegawai Kementerian Luar, Lalu Muhammad Iqbal.

"Wanita berkenaan yang hanya dinamakannya Nunung melarikan diri ke Yaman selepas diburu pihak berkuasa Arab Saudi dan dia juga antara warga Indonesia yang hendak dibawa keluar oleh pihak berkuasa dari Yaman kerana peperangan di negara itu," katanya.

Kata Lalu, Nunung ditahan ketika diperiksa pihak imigresen Arab Saudi di Jizan selepas dibawa dari Hudaidah.

"Wanita itu dikesan menerusi cop jari dan tersenarai sebagai orang yang dikehendaki.

“Kita tidak tahu-menahu statusnya sebelum ini. Kita hanya memberi tumpuan untuk membawa keluar warga Indonesia yang ada di Yaman,” katanya.

Lalu berkata, apabila pegawai bertanya kepada Nunung mengenai kes yang membabitkannya di Arab Saudi, wanita itu hanya berkata ia membabitkan perbuatan mencuri.

“Kami percaya cakap dia dan yakin masalah itu boleh diselesaikan, tetapi dimaklumkan pihak berkuasa Arab Saudi bahawa dia terbabit kes lebih teruk iaitu didakwa membunuh,” katanya.

Lalu menambah, sehingga ini, pihak berkuasa Indonesia masih berusaha mendapatkan keterangan lebih lanjut berkait dengan kes Nunung yang ketika ini berada dalam tahanan di Arab Saudi.

Artikel Lain