suria

Pembantu Juruterbang Didakwa Sengaja Hempaskan Pesawat Germanwings

PEMBANTU juruterbang pesawat malang Germanwings telah didapati mengunci pintu kokpit untuk menghalang kapten daripada memasukinya semula sebelum menghempaskan pesawat itu secara sengaja.

Pendedahan yang mengejutkan ini dibuat oleh pendakwaraya Perancis, Brice Robin yang dipertanggungjawabkan mengetuai siasatan berkenaan dalam satu sidang akhbar pada lewat Khamis.

Beliau mendedahkan maklumat mengenai situasi 10 minit terakhir di kokpit sebelum pesawat tersebut terhempas di Pergunungan Alps Perancis sehingga mengorbankan kesemua 150 penumpang dan enam anak kapal.

Brice Robin. 

Mendedahkan data yang diperolehi daripada perakam kotak hitam, beliau berkata, pembantu juruterbang berusia 28 tahun itu dikenali sebagai Andreas Lubitz seorang warganegara Jerman.

Pihak penyiasat mendapati Lubitz telah mengunci pintu kokpit pesawat berkenaan ketika kapten berada di luar kokpit.

Dalam tempoh lapan minit kemudian, Lubitz menggunakan sistem pengurusan penerbangan secara manual untuk menghempaskan pesawat itu.

"Saya tidak fikir bahawa penumpang menyedari apa yang berlaku sehingga saat-saat terakhir kerana anda dapat mendengar jeritan hanya saat akhir sebelum pesawat mencecah bumi," katanya.

Kapten pesawat itu Patrick Sonderheimer, meninggalkan kokpit untuk sama ada ke bilik air atau mendapatkan sesuatu di luar kokpit sebelum dia menyedari tidak dapat masuk semula ke dalamnya kerana pintu telah dikunci dari dalam.

Andreas Lubitz.


"Menerusi rakaman kotak hitam, kami dapat mendengar yang kapten pesawat telah meminta pembantunya untuk mengambil alih dan terdengar juga bunyi kerusi ditolak ke belakang dan pintu kokpit ditutup. Jadi kami menjangkakan kapten ingin pergi ke tandas atau mendapatkan sesuatu di luar kokpit.

"Pada saat ini, pembantu juruterbang bersendirian di kokpit dan selepas itu dia telah menggunakan sistem pengurusan penerbangan untuk secara manual menurunkan paras ketinggian pesawat sehinggalah terhempas.

"Pada ketinggian ini, tindakan tersebut hanya boleh dilakukan secara sukarela dan manual.  Kami terdengar jeritan daripada kapten meminta supaya pintu kokpit dibuka semula pada mulanya menggunakan sistem interkom tetapi permintaannya itu tidak diendahkan. Kapten kemudian cuba memecah masuk secara paksa namun tetap gagal.

"Lubitz tidak memberikan sebarang reaksi dalam tempoh tersebut tetapi rakaman mendapati dia bernafas secara normal tanpa menunjukkan tanda-tanda cemas. Kami kemudian terdengar bunyi pesawat tersebut melanggar sesuatu sebelum impak terakhir. Tiada isyarat kecemasan yang dikeluarkan dari pesawat. Malah tiada jawapan diterima walaupun beberapa panggilan telah dibuat oleh pihak menara kawalan," kata Robin.

Beliau berkata, Lubitz bertindak sedemikian atas sebab yang tidak diketahui.

Rakaman keadaan di kokpit diperolehi menerusi analisis awal kotak hitam pesawat tersebut.


"Kami kini telah meminta maklumat daripada para penyiasat di Jerman berhubung latar belakangnya," kata Robin.

Buat masa ini pihak penyiasat menolak tindakan Lubitz ada kaitan dengan kumpulan pengganas.

Ketika ditanya sama ada tindakan Lubitz itu sebagai cubaan bunuh diri, Robin berkata beliau percaya individu yang mahu membunuh diri akan melakukannya secara bersendirian.

"(Tetapi) saya tidak kata ini satu tindakan bunuh diri," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lufthansa, Carsten Spohr menegaskan kesemua juruterbang di syarikat penerbangan itu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun tetapi tiada penilaian psikiatri khas dijalankan di luar latihan.

"Dia (Lubitz) lulus semua pemeriksaan kesihatan. Dia 100 peratus sihat untuk terbang tanpa sebarang halangan.

"Saya bukan seorang peguam. Saya CEO sebuah syarikat penerbangan. Sekiranya seorang individu membawa bersama 149 penumpang untuk mati bersamanya, ia bukanlah tindakan bunuh diri," katanya.

Polis mengawal kediaman Lubitz di Montabaur, Jerman.


Lubitz mempunyai pengalaman penerbangan sebanyak 600 jam selepas menyertai Germanwings pada 2013 sebaik sahaja tamat latihan penerbangan.

Dia turut menerima anugerah cemerlang sebagai juruterbang terbaik daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Jerman pada 2013 di atas kemahiran penerbangannya itu.

Lubitz juga merupakan ahli kelab penerbangan LSC Westerwald di Montabaur, Jerman.

Dia mempunyai sebuah rumah flat di Dusseldorf tetapi tetap berulang-alik ke Montabaur, tempat kelahirannya, sebuah bandar yang terletak kira-kira 40 batu dari tenggara Bonn.

Lubitz baharu-baharu ini memadamkan laman Facebook miliknya yang menunjukkan dia memakai jaket berwarna coklat bergambar di depan Jambatan Golden Gate di California.

Dia meminati bidang penerbangan dan muzik termasuk DJ popular Perancis, David Guetta.

Germanwings, Andreas Lubitz

Artikel Lain