suria

TNI Tambahan Pos Kawalan Keselamatan Di Sempadan Kalimantan

Antara pos kawalan di Kalimantan yang terletak di sempadan Malaysia dan Indonesia.

BALIKPAPAN: Tentera Nasional Indonesia (TNI) merancang untuk mewujudkan lebih banyak pos kawalan keselamatan di utara dan timur Kalimantan yang terletak bersempadan dengan Malaysia sepanjang kira-kira 1,000 kilometer.

Jurucakap Ketua Pemerintah Tentera Mulawarman, Lt Kol Purwito Hadi berkata, pihaknya akan menambah 17 lagi pos kawalan menjadikan keseluruhannya 50 sepanjang sempadan itu.

Purwito berkata, kos untuk melaksanakan projek berkenaan mengikut bajet yang diperuntukkan, bagaimanapun jumlah sebenar belum diputuskan lagi.

Katanya, tambahan kawasan pemeriksaan yang baharu di sempadan itu perlu dilakukan berikutan peningkatan jumlah penceroboh membabitkan Malaysia dan Indonesia.

"Sebab itu kawalan keselamatan perlu diperketatkan, ia adalah antara langkah tegas kehadiran pasukan keselamatan kerajaan Indonesia dan bagi melindungi rakyat serta wilayah jajahannya," katanya lagi.

Tugas utama anggota tentera di sempadan adalah untuk melindungi kawasan itu daripada dicerobohi pembalak haram, selain peneroka tanah yang menjalankan penanaman kelapa sawit secara tidak sah.

Bagaimanapun, akui Purwito, ketika ini penanda sempadan jarang diubah berikutan rondaan berterusan yang dijalankan.

Selain itu, pasukan keselamatan itu juga menjalankan pemantauan, menyiasat dan menahan pihak yang dikesan menjalankan kegiatan haram di sepanjang sempadan.

"Kami sering menahan penyeludup arak dan pengedar dadah," kata Ketua Pasukan Tindakan Keselamatan Sempadan, Lt Kol Agustatius Sitepu yang juga Komander 433 Batalion Infantri Udara.

Sempadan antara Malaysia dan Indonesia itu meliputi kawasan seperti Long Pahangai di Mahakam Ulu hingga Sungai Boh di Malinau dan Long Bawan di Nunukan, seterusnya Lumbis, Tatagas, Simantobol dan Sebuku.

Pos kawalan keselamatan sempadan umumnya ditempatkan di kawasan tinggi dan hutan selain jauh dari penempatan penduduk. Ia dibina menggunakan papan dan kebiasaannya diubahsuai pihak pasukan keselamatan mengikut kesesuaian lokasinya supaya lebih berkesan.- The Jakarta Post





TNI, Kalimantan, Purwito Hadi

Artikel Lain