suria

Keluarga Rayu Tiga Gadis UK Disyaki Sertai IS Pulang

Amira Abase (kiri) bersama rakannya dikesan di Lapangan Terbang Gatwick pada Selasa.

KELUARGA tiga pelajar perempuan yang dilaporkan hilang dan disyaki meninggalkan London untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) semakin tertekan hingga mengeluarkan kenyataan merayu supaya remaja terbabit segera pulang kerana bimbang keselamatan mereka terancam.

Malahan, pihak berkuasa Scotland Yard juga cuba meredakan tekanan keluarga remaja berkenaan apabila giat mengesan mereka.

Selepas mengenal pasti dua remaja perempuan terbabit, akhirnya gadis ketiga yang dipercayai ke Syria untuk menjadi pengantin jihad dinamakan sebagai Amira Abase, 15.

Selepas empat hari kehilangan remaja terbabit, keluarga ketiga-tiga remaja itu merayu supaya mereka pulang kerana bimbang keselamatan mereka terancam.

Selain Amira, ketika ini, polis sedang berusaha mengesan Shamima Begum, 15 dan Kadiza Sultana, 16 yang dipercayai terbang ke Turki menerusi Lapangan Terbang Gatwick pada Selasa.

Semua gadis berkenaan berasal dari timur London itu menuntut di Bethnal Green Academy dan dikenali sebagai pelajar pintar di sekolah berkenaan.

Menerusi kenyataan, keluarga Amira berkata: "Amira, kami sangat rindukan kamu, semua orang, keluarga dan rakan kamu.

"Kami mahu kamu pulang secepat mungkin. Apa yang kami harapkan adalah untuk kamu pulang dengan selamat, kami terlalu sayangkan kamu.

"Tolong pulang Amira, semua orang merindui kamu. Kamu kuat, bijak, cantik dan kami berharap kamu akan buat keputusan yang betul.

"Kami bimbang. Cuba fikirkan apa yang telah kamu tinggalkan di sini. Kamu mempunyai masa depan cerah, jadi tolong pulang."

Terdahulu, keluarga dua lagi remaja terbabit turut mengeluarkan kenyataan dengan mesej dan nada sama.

Keluarga Shamima berkata: "Kami terlalu rindu dan bimbang memikirkan kamu. Tolonglah, jika kamu dengar mesej ini, hubungilah kami dan beritahu kamu selamat. Kami mahu kamu pulang dan bersama kami. Tempat kamu di rumah bersama kami.

"Syria adalah tempat berbahaya dan kami tidak mahu kamu ke sana. Hubungi polis dan mereka akan bantu membawa kamu pulang. Kamu tidak akan berhadapan dengan sebarang tindakan.

"Kami faham kamu berhasrat membantu golongan yang tertindas di Syria. Kamu masih boleh membantu dari rumah dan tidak perlu mendedahkan diri kepada situasi bahaya.

"Tolonglah jangan menyeberangi sempadan. Tolong pulang ke pangkuan kami. Ibu perlukan kamu di rumah dan terlalu risau.  Kami tidak marahkan kamu, kami sayangkan kamu.

Shamima dan Kadiza.

Bagi keluarga Kadiza Sultana pula, mesej mereka berbunyi demikian: "Wahai Kadiza dan dua rakan bersama kamu, kami berdoa dan berharap mesej ini dapat didengar. Kami berdoa agar tiada musibah menimpa dan kamu semua selamat serta dalam kesihatan baik.

"Kami diberitahu kamu dan rakan hilang pada Selasa 17 Februari dan dikesan berada di Turki.

"Sepanjang peninggalan kamu, kami sebagai keluarga begitu tertekan dan masih tidak tahu kenapa kamu meninggalkan rumah. Dengan tersebarnya spekulasi kamu mungkin ke Syria, kami begitu bimbangkan keselamatan kamu.

"Kami rakamkan ucapan kasih tulus ikhlas dan akan terus berdoa supaya kamu dan rakan selamat pulang ke pangkuan keluarga atau sekurang-kurangnya hubungi kami untuk memaklumkan bahawa kamu selamat.

"Kami begitu menyayangi kamu dan sejak empat hari lalu, ia bagaikan mimpi ngeri buat kami kerana tidak tahu di mana kamu berada dan bagaimana keadaan kamu.

"Ingin dinyatakan di sini bahawa kami tidak marahkan kamu kerana kamu tidak lakukan kesalahan. Kami hanya mahu kamu pulang dengan selamat. Kami sangat rindukan kamu, terutama ibu dan keadaan kini tidak sama tanpa kamu."

Setiausaha Agung Muslim Women Network UK, Mussurut Zia berkata, pihaknya bimbangkan keselamatan ketiga-tiga remaja itu kerana tentunya sukar untuk mereka pulang jika menyertai kumpulan IS.

Beliau memberitahu BBC Breakfast: "Saya percaya gadis ini tidak tahu apa yang akan berlaku kepada mereka kerana tidak dimaklumkan keadaan sebenar.

"Tentunya mereka tidak akan berjuang di barisan hadapan, sebaliknya akan dipergunakan dan saya tidak nampak mereka dapat pulang."

Berdasarkan rakaman CCTV, Shamima, Kadiza dan Amira dikesan berada di Lapangan Terbang Gatwick selepas meninggalkan rumah masing-masing pada pukul 8 pagi Selasa dengan alasan mereka mahu menghabiskan masa bersama sepanjang hari.

Ketiga-tiga remaja ini dikatakan berkawan rapat dengan seorang lagi rakan sekolah berusia 15 tahun yang ke Syria pada Disember lalu.













Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain