suria

Hukuman Mati: Hubungan Indonesia-Brazil Makin Tegang

Dilma Rouseff

JAKARTA: Hubungan dua hala Indonesia dan Brazil semakin tegang berikutan keengganan Presiden Brazil, Dilma Rouseff menerima pelantikan Duta Indonesia ke negara itu, Toto Riyanto.

Ia sebagai tanda protes terhadap hukuman mati ke atas warganya, Rodrigo Gularte yang dipenjarakan kerana melakukan kesalahan menyeludup enam kilogram dadah yang disorok dalam papan luncur air pada 2004.

Malahan, tindakan Brazil menangguhkan penyerahan watikah pelantikan duta Indonesia itu mendorong kerajaan pimpinan Joko Widodo memanggil balik Riyanto.

Jurucakapnya Arrmanatha Nasir berkata: “Kami kesal dan tidak dapat menerima tindakan Brazil ini yang nyata menunjukkan pemimpinnya kurang matang.

“Indonesia adalah negara berdaulat dan demokrasi dengan sistem perundangan yang berkecuali. Negara asing tiada hak untuk mencampuri pelaksanaan undang-undang kami termasuk dalam isu mengedar dadah.

Insiden terbaharu ini dengan jelas menunjukkan Jakarta membantah tindakan Rouseff, sekali gus mengeruhkan lagi keadaan antara kedua negara.

Gularte (tengah) kini menunggu masa untuk berhadapan dengan skuad penembak bagi menjalani hukuman mati.

Brazil membantah pelaksanaan hukuman mati ke atas Gularte, 42, kerana menganggap lelaki berkenaan tidak waras dan perlu diberikan rawatan psikiatri.

Pada 17 Disember lalu pula, warga Brazil, Marco Archer Cardoso Moreira yang juga rakan Gularte ditembak mati di hadapan skuad penembak Indonesia atas kesalahan sama, walaupun Rouseff sendiri mengemukakan permohonan pengampunan bagi pihaknya.

Semuanya bermula apabila Presiden Brazil itu enggan menemui duta baharu Indonesia ke negara itu sedangkan beliau bersetuju menerima kehadiran duta dari lima negara lain.

Setakat ini, Indonesia sudah dua kali menolak permohonan pengampunan untuk Gularte.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain