suria

GE235: Juruterbang Dianggap Hero, Elak Pesawat Rempuh Bangunan

TAIPEI: Datuk Bandar di sini menganggap juruterbang TransAsia Airways sebagai hero kerana tindakan pantasnya menerbangkan pesawat itu berjaya mengelak ia merempuh bangunan, sebaliknya terhempas ke dalam sungai.

Sekurang-kurangnya 31 penumpang dilaporkan maut apabila pesawat GE235 itu terbang di antara bangunan, melintasi kenderaan di tengah bandar ini sebelum terjunam ke sungai, hanya beberapa minit selepas berlepas pada Rabu.

"Dia (juruterbang) memang cuba sebaik mungkin (mengelak merempuh bangunan)," kata Ko Wen-je dengan nada sebak.

Video amatur yang dirakamkan dapat menyaksikan bagaimana pesawat itu terbang rendah sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Songshan di sini.

"Tindakan pantas juruterbang itu menyelamatkan banyak nyawa," kata Chris Lin, abang kepada salah seorang penumpang yang terselamat.

Penganalisa aeroangkasa berkata, terlalu awal untuk menyatakan juruterbang itu menerbangkan pesawat itu bagi mengelak bangunan atau mungkin menyasarkan sungai berkenaan bagi mengelak jumlah kecederaan yang ramai.

Gambar lebih terperinci berhubung insiden itu akan lebih jelas apabila peti suara pada kokpit dan rakaman data penerbangan itu diperoleh selepas ia berjaya ditemui pada Rabu.

Juruterbang berusia 42 tahun, Liao Chien-tsung dan pembantunya adalah antara yang terbunuh dalam kejadian itu.

Media Taiwan melaporkan bagaimana Liao bertindak menerbangkan pesawat itu bagi memastikan ia tidak merempuh bangunan pangsapuri dan komersial di sekitar bandar itu.

TransAsia Airways, GE235, Ko Wen-je

Artikel Lain