suria

Rakyat Singapura Diminta Bertenang Berhubung Kejadian Semasa Thaipusam

Sambutan Thaipusam di Little India, Singapura. -foto AFP
SINGAPURA: Menteri Dalam Negeri Kedua S.Iswaran meminta rakyat Singapura bertenang dan bersabar apabila memberi reaksi terhadap satu kejadian yang berlaku ketika sambutan Thaipusam baru-baru ini, demikian dilaporkan Channel News Asia (CNA).

Tiga lelaki ditangkap pada hari itu kerana berkelakuan buruk selepas mereka didatangi polis berhubung isu bermain gendang di tempat awam.

Saluran televisyen itu melaporkan Iswaran bercakap kepada media pada Khamis di luar atur cara lawatan rasmi ke Sepanyol.
Beliau menyeru rakyat Singapura supaya bersatu dalam menentang tindakan melanggar undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam.

"Masyarakat Singapura terdiri daripada pelbagai agama. Dan kita semua perlu bertolak ansur.
 
Perlu ada sikap saling memahami dan saling menghormati amalan satu sama lain. Dalam menyambut perayaan atau acara masing-masing, kita juga perlu mengambil kira keperluan memelihara keseimbangan dalam masyarakat untuk menjaga keselamatan, undang-undang dan ketenteraman," katanya.

Iswaran berkata beliau bimbang akan wujud salah tafsiran atau khabar angin secara dalam talian tentang kejadian itu dan menggesa orang ramai mencegah perkara itu daripada berlaku.

"Sebab dikenakan larangan bermain alat muzik, yang dikuatkuasakan pada 1974, ialah pernah berlaku pergaduhan antara kumpulan yang bersaing dan perbuatan mengganggu perarakan dan sebagainya.Jadi, kerana pelbagai sebab, larangan dikenakan," katanya.

Namun demikian, terdapat peruntukan yang membenarkan lagu keagamaan dinyanyikan, sejajar dengan semangat menghormati kesucian dan acara berkenaan," katanya yang dipetik CNA.

Thaipusam, S.Iswaran

Artikel Sebelum

Artikel Lain