suria

Wartawan Al Jazeera Dari Australia Yang Ditahan Di Mesir Dibebaskan

Baher Mohamed (kiri sekali), Mohammed Fahmy (tengah), dan Greste ketika dibicarakan di mahkamah Kaherah atas dakwaan menyiarkan laporan yang menunjukkan simpati ke atas Ikhwan Muslimin dan bekas presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi.

KAHERAH: Wartawan Al Jazeera, Peter Greste yang telah menjalani hukuman penjara lebih 400 hari di Mesir kerana dituduh menunjukkan sokongan dan simpati ke atas kumpulan Ikhwan Muslimin telah dibebaskan pada Ahad dan terus dihantar pulang dengan segera ke negara asalnya, Australia.

Bagaimanapun nasib dua lagi rakan sekerjanya, Mohamed Fahmy dan Baher Mohamed, masih belum diketahui.

Menurut laporan pelbagai media antarabangsa, Greste telah pun berangkat pulang ke Australia menerusi Cyprus sebaik sahaja dia dibebaskan oleh pihak berkuasa Mesir atas pengampunan presiden.

Greste dilaporkan menaiki pesawat EgyptAir menuju ke Larnaca, Cyprus pada jam 4 petang waktu tempatan.

Greste dan wartawan asal Mesir Mohammed Fahmy telah dihukum penjara tujuh tahun manakala seorang lagi rakan mereka Baher Mohammed, juga dari Mesir, menerima hukuman penjara 10 tahun.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan laporan yang menunjukkan simpati ke atas Ikhwan Muslimin dan presiden yang diguling, Mohamed Morsi pada tahun 2013.

Mereka dibicarakan dan didapati bersalah.

Bagaimanapun pada awal Januari, Mahkamah Rayuan Mesir telah mengarahkan agar perbicaraan ke atas ketiga-tiga mereka diadakan semula.

Pada November tahun lalu, Mesir telah meluluskan satu dekri yang membenarkan presiden memberi pengampunan kepada warga asing yang ditahan di penjara negara itu dan ini membuka harapan kepada keluarga Greste untuk melihatnya dibebaskan dan dihantar pulang semula.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain