suria

Rempuhan Di Shanghai Menunjukkan 'Kecuaian Kritikal' - Datuk Bandar

SHANGHAI: Rempuhan Tahun Baru di Shanghai yang mengorbankan 36 orang termasuk seorang rakyat Malaysia menunjukkan 'kecuaian kritikal', menurut Datuk Bandar hab komersial untuk warga Cina itu, Sabtu.

Datuk Bandar Yang Xiong, bagaimanapun, menegaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab telah pun menerima hukuman setimpal.

Tan Wei, 20, pelajar Universiti Hangzhou mati dalam rempuhan itu manakala seorang lagi rakyat Malaysia Ooi Hooi Yi, 20, cedera dalam kejadian itu.

Dalam pesta tahun baru itu yang diadakan di kawasan tepi sungai bersejarah dikenali sebagai Bund itu menyaksikan ramai pengunjung, kebanyakannya wanita muda, berkerumun di kawasan itu menyebabkan keadaan sesak dan pengunjung dipijak kerana langkah keselamatan yang tidak mencukupi.

"Insiden pada malam Tahun Baru telah mendedahkan 'kecuaian kritikal' dan membahayakan dalam infrastruktur keselamatan di Shanghai," kata Yang Xiong dalam mesyuarat tahunan Kongres Rakyat Shanghai.

"Mereka yang bertanggungjawab telah ditahan dan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya, membaca dari teks yang telah tersedia.

"Kami berkongsi kesedihan rakyat dan mengakui bersalah dan bertanggungjawab."

Seramai 11 pegawai telah menerima hukuman, dengan empat daripadanya dilucutkan jawatan masing-masing, kebanyakannya dari daerah Huangpu di mana kemalangan itu berlaku.

Tiada sebarang pengumuman lagi berhubung hasrat untuk mendapatkan hukuman jenayah melalui mahkamah.

Keluarga mangsa telah menggesa supaya pegawai-pegawai bandaraya di peringkat lebih tinggi, dipersalahkan di tengah-tengah spekulasi yang turut mengaitkan Datuk Bandar itu sendiri.

Datuk Bandar itu mempertahankan laporan siasatan rasmi mengenai tragedi itu yang menggambarkan rempuhan itu sebagai 'insiden', yang mengenakan hukuman yang lebih ringan dan bayaran pampasan yang kurang kepada mereka yang terjejas berbanding klasifikasi 'kemalangan'.

"Kami telah menghasilkan satu laporan yang objektif dan tidak berat sebelah mengikut undang-undang," katanya.

Keluarga si mati akan menerima 800,000 yuan yang mereka kritik kerana terlalu rendah sambil menggesa satu jumlah yang lebih besar daripada kerajaan, bukan sekadar pampasan.

Yang juga menggariskan objektif utama bagi tahun akan datang.
rempuhan Shanghai, Bund, Yang Xiong

Artikel Lain