suria

ISIS Mahu Pengebom Berani Mati Wanita Sebagai Pertukaran Dengan Tebusan Jepun

Sajida al-Rishawi, April 2006.-foto EPA
SINGAPURA: Kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria  (ISIS) dilaporkan menuntut pembebasan seorang pengebom berani mati wanita, Sajida al-Rishawi, yang mempunyai kaitan dengan  al-Qaeda, sebagai pertukaran tebusan dengan wartawan Jepun Kenji Goto.

Sajida, yang berusia 40-an telah ditangkap pada tahun 2005 tidak lama selepas dia cuba meletupkan dirinya, tetapi gagal, sebagai sebahagian daripada rentetan pengeboman hotel di Amman, Jordan, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 57 orang, seperti yang dilaporkan The New York Times.

Wanita Iraq itu telah berkunjung ke ibu negara Jordan bersama suaminya Hussein Ali al-Shamari, juga dari Iraq, dengan menggunakan pasport palsu, lima hari sebelum serangan.

Sajida dan suaminya menjadikan majlis kahwin di 'ballroom' sebuah hotel sebagai sasaran. Selepas Hussein menyedari bahawa isterinya mempunyai masalah meletupkan bahan letupan itu, dia menolaknya keluar dari ruang tersebut. Dia kemudian meletupkan dirinya, membunuh 38 yang lain, lapor akhbar Israel, Haaretz.

Sajida beredar dari situ tetapi ditangkap oleh pihak berkuasa tidak lama selepas kejadian.

Dia muncul dalam pengakuan di televisyen yang dramatik pada November 2005 sambil memakai bom yang dirancang untuk diletupkan. Menurut CNN, Sajida berkata suaminya yang merancang serangan itu dan mengajarnya bagaimana untuk menggunakan bom tali pinggang.

Sajida juga telah dikenal pasti sebagai saudara perempuan anggota militan yang dibunuh, Mubarak al-Rishawi, yang merupakan orang kanan Abu Musab al-Zarqawi, ketua al-Qaeda di Iraq, lapor Haaretz.

Dalam rakaman terbaharu yang dikeluarkan di YouTube lewat hari Sabtu sebelum ia dipadamkan, menunjukkan imej Goto yang kurus kering memakai baju-T oren dengan audio kenyataan yang dibuat dalam bahasa Inggeris.

Dalam rakaman itu, Goto berkata rakannya yang turut ditawan, Haruna Yukawa telah 'disembelih di tanah yang dipimpin oleh Khalifah Islam."

Tetapi wartawan itu berkata kerajaan Jepun boleh menyelamatkan dirinya melalui Jordan di mana Perdana Menteri Shinzo Abe menubuhkan sebuah pejabat untuk menyelaraskan tindak balas kerajaan untuk situasi tebusan pada minggu lepas.

Goto berkata militan akan melepaskannya sebagai pertukaran kepada pembebasan Sajida. Dia berkata anggota militan telah menggugurkan permintaannya terdahulu iaitu wang tebusan sebanyak AS$200 juta.

"Saya ingin menekankan betapa mudahnya untuk menyelamatkan hidup saya," kata rakaman itu.

"Anda bawa kepada mereka saudara perempuan mereka dan saya akan dilepaskan dengan segera. Saya untuk dia." -The Straits Times/ANN
ISIS, Kenji Goto, Sajida al-Rishawi

Artikel Lain