suria

Anak Malaysia Dilantik Penasihat Khas PBB

NEW YORK: Setelah 36 tahun memberi pelbagi sumbangan penting kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), akhirnya wanita Malaysia berasal dari Pulau Pinang, Datuk Judy Cheng-Hopkins, dilantik sebagai penasihat khas kepada University for Peace (UPEACE) oleh Setiausaha Agung badan dunia itu mulai September 2014.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Cheng-Hopkins yang, mendapat gelaran Datuk daripada negeri kelahirannya itu pada September 2014, adalah seorang yang memainkan peranan penting dalam pasukan pengaman PBB, yang lebih dikenali sebagai pasukan 'Helmet Biru' kerana helmet biru yang dipakai anggota pasukan itu.

Pelantikan beliau berkuatkuasa mulai September 2014.

Dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya di ibu pejabat PBB di sini, beliau menjelaskan sedikit sebanyak tentang objektif dan misi universiti yang terletak di Costa Rica itu.

Katanya misi UPEACE adalah untuk menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi keamanan antarabangsa yang kaya dengan sifat-sifat perikemanusiaan bagi memupuk dalam diri umat manusia semangat saling memahami, bertolak ansur dan berkongsi kehidupan secara aman, menggalakkan kerjasama dalam kalangan manusia serta membantu mengurangkan rintangan dan ancaman terhadap keamanan dan kemajuan dunia, sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Piagam PBB.

Setiausaha Agung PBB adalah presiden kehormat majlis universiti itu dan beliau diwakili Cheng-Hopkins dalam majlis berkenaan.

"Saya juga bekerjasama dengan majlis itu serta kepimpinan akademik dan pengurusan universiti berkenaan dalam memajukan dan melaksanakan satu program pembaharuan secara komprehensif yang melibatkan bidang akademik, pentadbiran dan pengurusan," katanya.

Sebelum pelantikan terkini beliau, Cheng-Hopkins menyandang jawatan Penolong Setiausaha Agung bagi Sokongan Pembinaan Keamanan di badan dunia itu.

Sebelum itu pula, beliau berkhidmat sebagai Penolong Pesuruhjaya Tinggi bagi Orang Pelarian, Pengarah Biro Asia dan Balkans bagi Program Makanan Dunia dan berkhidmat dengan Program Pembangunan PBB (UNDP) di Afrika selama 10 tahun.

Cheng-Hopkins mendapat pendidikan awal di St. George's Girls' School dan St. Xavier's Institution di Pulau Pinang sebelum memperoleh ijazah Sarjana dalam bidang hal ehwal antarabangsa daripada Columbia University, New York pada 1978.

Pada 2013, beliau menerima anugerah kepimpinan global dari universiti itu dan diisytiharkan sebagai 'seorang daripada alumni paling cemerlang' oleh Dekan pengajian.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan warga Amerika, Dr. Thomas J. Hopkins.

Ibu kepada dua anak perempuan ini berkata ketika berkhidmat dengan Program Pembangunan PBB, beliau pernah bertugas di Kenya dan Zambia, termasuk berurusan dengan gerakan pembebasan.

Ditanya sama ada beliau akan kembali menetap di Malaysia suatu hari kelak, Cheng-Hopkins berkata: "Malaysia masih menjadi sebahagian daripada diri saya. Saya berkunjung ke Malaysia dua tiga kali setahun. Mungkin orang boleh keluarkan saya dari Malaysia, tapi mereka tidak boleh hapuskan Malaysia dalam diri saya!"

Wanita ini berkata beliau adalah cicit kepada Leong Fee, bekas pekerja di sebuah lombong bijih timah di Ipoh, yang kemudian membeli lombong berkenaan. Selepas itu, datuk neneknya berpindah ke Pulau Pinang.

"Malah datuk saudara saya membawa seorang arkitek dari Itali untuk membina sebuah rumah agam di Pulau Pinang dan rumah ini amat dekat di hati saya," katanya.

Cheng-Hopkins membayangkan hasratnya untuk berkhidmat kepada masyarakat apabila kembali ke tanah air suatu hari kelak, tetapi menegaskan ia bukan peranan melalui politik.

"Saya adalah anggota Penang Heritage Trust (PHT) dan diminta menyumbang sesuatu kepadanya," kata beliau.

PBB, Malaysia

Artikel Lain