suria

Pesawat Virgin Atlantic Berpatah Balik Kerana Masalah Gear Pendaratan

Pesawat Virgin Atlantic melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Gatwick, London selepas terpaksa berpatah balik dalam penerbangan dari London ke Las Vegas pada Isnin berikutan mengalami masalah gear pendaratan. Foto AP

SEBUAH pesawat Virgin Atlantic dalam penerbangannya dari London ke Las Vegas pada Isnin terpaksa berpatah balik dan mengelilingi di ruang udara tenggara England selama empat jam berikutan gear pendaratannya gagal berfungsi.

Pesawat itu bagaimanapun berjaya membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Gatwick, London.

Menurut laporan telegraph.co.uk, penerbangan VS43 itu dirakamkan menerusi radar penerbangan 'flight radar' yang mengelilingi kawasan itu selepas berlepas dari Lapangan Terbang Gatwick.

Virgin Atlantic mengesahkan bahawa terdapat masalah di salah satu bahagian gear pendaratannya.

Ia berkata, pesawat itu membuat persiapan untuk melakukan pendaratan cemas.

Dipercayai juruterbang terus menerbangkan pesawat itu di ruang udara tenggara negara itu sehingga bahan api cukup dibakar sebelum membuat cubaan untuk membawa turun Boeing 747.

Pesawat itu berlepas ke Las Vegas pada pukul 11.44 pagi waktu tempatan (7.44 malam waktu Malaysia) pagi sejurus jadual perlepasan pada pukul 11.20 pagi (7.20 malam waktu Malaysia).

Maklumat radar menunjukkan bahawa pesawat itu berpatah balik sejurus selepas merentasi pantai utara Devon.

Ia mengelilingi ruang udara Bristol sebelum berpatah balik ke bahagian tenggara.

Seorang jurucakap Gatwick mengesahkan pesawat itu berpatah balik ke lapangan terbang itu kerana "masalah teknikal kecil".

Virgin Atlantic dalam satu kenyataan berkata: "Virgin Atlantic mengesahkan bahawa penerbangan VS43 pada 29 Disember, dalam penerbangannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran di Las Vegas, telah berpatah balik kerana masalah isu teknikal membabitkan salah satu gear pendaratannya."

"Pesawat itu bersedia untuk melakukan pendaratan di lapangan terbang Gatwick." 

Syarikat penerbangan itu kemudiannya mengesahkan pesawat VS43 berjaya mendarat dengan selamat.

Seorang jurucakap syarikat itu berkata: "Virgin Atlantic mengesahkan penerbangan VS43 mendarat dengan selamat di Gatwick."

"Keutamaan kami sekarang adalah para penumpang dan anak kapal," tambahnya.



Artikel Lain