suria

IS Jual Organ Biaya Kegiatan Militan

WASHINGTON: Media Amerika Syarikat membuat pendedahan mengejutkan mengenai kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS) yang didakwa mengumpul dana bagi membiayai kegiatan mereka menerusi penjualan organ manusia.

Laporan Media Al-Monitor yang berpangkalan di negara itu menyebut, urusniaga penjualan organ manusia yang bekalannya diperoleh daripada pejuang yang gugur atau mangsa culik itu adalah antara kaedah untuk membiayai kegiatan kumpulan itu.

Ia terbongkar apabila pakar otolaryngologist, Siruwan al-Mosuli mendedahkan bagaimana beliau menyedari berlakunya pergerakan luar biasa dalam perkhidmatan penyediaan kemudahan perubatan di Mosul sejak kebelakangan ini.

"Pakar bedah Arab dan asing diambil bekerja, tetapi mereka dilarang bergaul dengan doktor tempatan. Bagaimanapun, maklumat mengenai penjualan organ akhirnya bocor," lapor Press TV yang memetik kenyataan Mosuli.

Kata doktor itu lagi, hasil pemerhatiannya, pembedahan dilakukan di hospital dan organ yang diperoleh daripada mayat diedarkan melalui jaringan urusniaga pemerdagangan organ manusia.

Selain itu, akhbar Financial Times pula melaporkan kumpulan IS didakwa membunuh 100 anggotanya yang berasal dari luar negara kerana dikatakan cuba melarikan diri dari ibu pejabat kumpulan tersebut di Raqqa.

Sumber media itu memberitahu, anggota IS cuba melarikan diri kerana kecewa dengan realiti sebenar perjuangan di Syria.


organ, IS, Syria, militan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain