suria

Lelaki Bersenjata Tawan 40 Tebusan Dalam Kafe

Orang ramai menyaksikan insiden lelaki bersenjata menawan tebusan di sebuah kafe di tengah bandar Sydney, Isnin.

SYDNEY: Suasana di sebuah kafe di tengah bandar ini kecoh apabila seorang lelaki bersenjata bertindak menawan sekurang-kurangnya 40 tebusan membabitkan pekerja premis itu dan 30 pelanggan, awal pagi Isnin.

Lelaki itu juga bertindak memaparkan bendera hitam putih dengan tulisan Arab yang diletakkan di tepi tingkap kafe berkenaan.

Siasatan insiden itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti lelaki berkenaan.

Kafe berdekatan Opera House itu mendorong pihak berkuasa menutup pusat perniagaan Martin Place apabila polis lengkap bersenjata mengepung kafe coklat Lindt.

Saksi kejadian itu berkata, mereka mendengar bunyi kuat seperti tembakan dilepaskan dalam premis itu.

Penerbit Channel Seven, Patrick Byrne, yang pejabatnya terletak bertentangan kafe itu berkata, kakitangan stesen televisyen itu menyaksikan insiden berkenaan.

"Kami meluru ke tingkap dan terkejut apabila melihat orang mengangkat tangan ke arah tingkap di kafe itu," katanya.

Australia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas kerajaan membangkitkan kebimbangan terhadap rakyatnya yang berjuang bersama kumpulan jihad di Iraq dan Syria mungkin pulang ke negara asal dengan membawa elemen radikal dan berupaya membuat serangan.

Sementara itu, jurucakap polis New South Wales berkata, pihaknya sedang bertindak balas terhadap insiden berkenaan dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan tebusan.

Lindt, Martin Place, tebusan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain