suria

Australia Isytihar Bandar Raqqa Di Syria Kawasan Larangan

Gambar tidak bertarikh yang disiarkan pada 30 Jun lalu menunjukan pejuang militan IS melakukan perarakan di Raqqa, utara Syria.

SYDNEY: Australia pada Khamis mengisytiharkan bandar Raqqa di Syria sebagai kawasan larangan daripada dikunjungi rakyatnya, menerusi undang-undang baru menangani keganasan bagi menyekat pejuang jihad ke bandar itu.

Kerajaan Australia pada pertengahan Oktober lalu menetapkan pelan rancangan untuk menghalang warganegaranya daripada berkunjung ke kawasan panas itu yang terlibat dengan aktiviti keganasan, berikutan bilangan pejuang warga asing yang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) semakin bertambah.

Seramai 70 warganegaranya dipercayai telah pun berkunjung ke kawasan itu.

Di bawah undang-undang baharu berkenaan, sesiapa yang berkunjung ke kawasan yang disenaraikan itu akan berdepan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

"Di bawah peruntukan dalam undang-undang pejuang asing kita, saya pada hari ini mengisytiharkan bahawa wilayah al-Raqqa sebagai kawasan yang disenaraikan mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan," kata Menteri Luar, Julie Bishop di Parlimen.

"Pengumuman ini menjadikan satu kesalahan bagi mana-mana rakyat Australia yang memasuki atau berada di wilayah al-Raqqa tanpa sebarang sebab yang dibenarkan. Mereka akan berdepan dengan penalti sehingga 10 tahun penjara," katanya.

Bishop berkata, setakat ini sebanyak 75 pasport telah dibatalkan dan tidak meluluskan permohonan 10 pasport bagi melarang rakyatnya daripada berkunjung ke zon konflik itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata, dianggarkan 100 rakyatnya turut menyokong pejuang itu dengan merekrut dan mendapatkan dana untuk aktiviti keganasan itu. - AFP

Artikel Lain