suria

10 Polis Ditembak Mati Di Chechnya: Rusia Dalam Keadaan Berjaga-Jaga

MOSCOW: Pihak berkuasa Rusia kini mengesahkan yang 10 anggota polis di Grozny, Chechnya, terbunuh selepas sekumpulan anggota bersenjata menyerang pondok polis trafik di ibu kota itu pada pagi Khamis waktu tempatan manakala 28 lagi disahkah tercedera. 

Kumpulan bersenjata itu kemudiannya menyerbu dan menawan beberapa buah bangunan berdekatan termasuk sebuah sekolah.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa jam sebelum Presiden Rusia, Vladimir Putin dijadual menyampaikan ucapan yang akan dipancarkan secara langsung ke seluruh negara dan wilayah.

Hanya beberapa minggu yang lalu, wilayah autonomi Chechnya telah menyaksikan bagaimana seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya ketika dia ditahan daripada memasuki sebuah dewan yang sarat dengan penonton sebuah konsert tempatan. 

Insiden ini mengejutkan ramai pihak kerana Chechnya sudah lama sepi daripada sebarang ancaman gerila atau militan.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan, salah satu bangunan yang diserbu oleh kumpulan bersenjata ini telah terbakar manakala pihak berkuasa cuba mengepung kawasan sekolah yang diduduki oleh mereka.

AFP turut melaporkan bunyi tembakan dan letupan dari kawasan yang diduduki.

“Mereka (kumpulan bersenjata ini) masih lagi menguasai bangunan sekolah berkenaan," kata Gabenor Chechnya yang pro-Rusia, Ramzan Kadyron.

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa telah mengepung kawasan sekolah tersebut.

Ramzan tidak menafikan yang kumpulan bersenjata itu sarat dengan senjata termasuk pelancar bom.

Namun pihak berkuasa Chechnya mahupun Rusia tidak dapat mengesahkan berapa ramaikah anggota kumpulan berkenaan.

Ramzan cuma mengesahkan lima hingga enam orang anggota militan itu telah berjaya ditembak mati oleh pasukan keselamatan.

Pada masa yang sama, puak pemisah yang dikenali sebagai Caucasus Emirate, mengaku bertanggungjawab di atas serangan itu dengan alasan ia adalah balasan ke atas perbuatan opresi terhadap wanita Islam.

Ini adalah serangan yang kedua dalam tempoh dua bulan yang melibatkan anggota keselamatan di wilayah  Chechnya.

Oktober lalu, lima anggota polis turut terbunuh dalam serangan yang hampir serupa juga di Grozny, apabila mereka cuba menahan seorang remaja yang melilitkan badannya dengan bahan letupan daripada memasuki sebuah dewan yang sedang berlangsung satu pertunjukkan konsert. Remaja itu kemudiannya meletupkan dirinya.

Ia adalah insiden keganasan yang pertama sejak perang Chechen yang kedua tamat pada 2009.

Perang itu dilancarkan oleh Putin pada 1999 yang ketika itu adalah perdana menteri Rusia.

Selepas Putin berjaya menghancurkan gerakan gerila Chechen pada Mei 2000, sebuah kerajaan pro-Kremlin telah dibentuk dengan bekas pemberontak, Akhmad Kadyrov dilantik sebagai gabenor yang pertama.

Bagaimanapun pada 2004, Kadyrov telah terbunuh dalam satu serangan hendap dan tempatnya sejak itu diambilalih oleh anaknya Ramzan.

Ramzan adalah penyokong kuat Putin. Pada 7 Oktober lalu ketika seluruh negara itu meraikan ulang tahun Putin yang ke-62, Ramzan telah mengetuai perarakan 100,000 penduduk Chechnya di Grozny, sambil membawa potrait Putin sebagai tanda sokongan ke atasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain