suria

2,200 Tentera Simpanan Dikerah Untuk Kawal Rusuhan Kaum Di Ferguson AS

Barisan Pengawal Kebangsaan Amerika telah dikerah untuk mengambil alih kawalan keselamatan di bandar Ferguson, Missouri Amerika Syarikat pada lewat Isnin selepas rusuhan dan anarki menjadikan situasi tidak lagi terkawal.

FERGUSON (AS): Kerajaan Negeri Missouri, Amerika Syarikat terpaksa mengerah 2,200 anggota tentera simpanan (Pengawal Kebangsaan) ke bandar ini selepas rusuhan kaum menjadi tidak terkawal ekoran keputusan mahkamah membebaskan seorang anggota polis daripada tuduhan membunuh seorang remaja kulit hitam bernama Michael Brown, 9 Ogos lalu.

Ia adalah rusuhan kaum terburuk di negara ini dalam tempoh sedekad.

Sebahagian besar rumah kedai dan premis perniagaan telah menjadi 'mangsa' anarki dan penjarahan. Kebanyakkannya dibakar dan dirosakkan.

Gabenor Missouri (sama taraf dengan jawatan menteri besar di Malaysia), Jay Nixon berkata, negeri itu tidak mempunyai pilihan melainkan meminta bantuan Pengawal Kebangsaan apabila jenayah mengambil alih keadaan yang semakin tidak terkawal itu.

Pegawai polis yang terlibat dalam kes pembunuhan itu, Darren Wilson dalam reaksi segeranya menegaskan dia tidak rasa bersalah dengan tindakannya menembak Brown kerana menjalankan tugasnya sebagai anggota polis sebaik yang mungkin tetapi pada masa yang sama menyatakan rasa bimbang akan keselamatan dirinya ekoran keputusan mahkamah itu.

Pendakwaraya Negeri, Robert McCulloch dalam hujahnya menegaskan, Wilson membuat keputusan untuk melepaskan tembakan berdasarkan bukti fizikal yang ditunjukkan oleh Brown ketika dia dikejar.

Brown, yang berusia 18 tahun, telah ditembak beberapa kali oleh Wilson pada 9 Ogos lalu selepas dia dikejar kerana disyaki merompak. Pemeriksaan ke atas mayatnya mendapati dia tidak memiliki senjata ketika ditembak.

Wilson menegaskan, keputusannya untuk melepaskan tembakan tiada kaitan dengan warna kulit mangsa.

"Jika suspek seorang berkulit putih sekali pun saya tetap akan membuat keputusan yang sama ketika kejadian itu," katanya.

Mahkamah Daerah Ferguson pada Isnin memutuskan untuk tidak akan meneruskan dakwaan jenayah ke atas Wilson.

Presiden Barack Obama ketika memberi reaksinya di Chicago menegaskan, walau apa juga keputusan yang telah dicapai berhubung kes tersebut, ia bukanlah alasan yang wajar untuk bertindak merusuh dan melakukan anarki.

Mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah wajib didakwa dan dihukum, jelasnya.

Artikel Sebelum

Golkar Singkir Ketua Umum

Artikel Berikut

Artikel Lain