suria

Pelancong Gay Yang Ditangkap Di Maghribi Kembali Ke Britain

Rabat, Magribi adalah destinasi popular untuk pelancong-pelancong dari benua Eropah.

RABAT: Seorang pelancong British yang dihukum penjara selama empat bulan di sini kerana kecenderungan homoseksualnya telah kembali ke Britain pada Selasa.

Ray Cole, 70,  ditahan di sebuah perhentian bas di Marrakech di sini bersama-sama seorang lelaki tempatan berusia 20-an.

Cole memberitahu para pemberita yang dia berasa lega selepas pesawat yang membawanya pulang selamat mendarat di London.

Cole dibebaskan tanpa menjalani hukuman penjara empat bulan itu selepas peguamnya berjaya membuat rayuan kepada kerajaan Maghribi.

"Kami ingin merakamkan rasa terima kasih kami kepada kerajaan Maghribi kerana menunjukkan belas kasihan mereka kepada Cole," demikian menurut kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh keluarganya.

Bagaimanapun lelaki yang ditahan bersama-sama Cole masih lagi dipenjarakan.

Kedua-dua mereka telah menafikan melakukan hubungan intim tetapi imej yang ditemui di dalam telefon bimbit mereka menceritakan sebaliknya.

Itu yang menjadi punca mengapa mereka dipenjarakan.

Kedua-dua mereka mula berkawan menerusi laman Facebook, dan Cole ditahan dalam lawatan keduanya ke Maghribi untuk bertemu rakannya itu.

Perbuatan homoseksual adalah menjadi satu kesalahan di Maghribi dan boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun jika didapati bersalah.

Penahanan Cole telah mendapat perhatian dunia barat yang kini melancarkan kempen untuk pelancong memboikot Maghribi.

Kementerian Luar Britain pernah mengeluarkan nasihat kepada warganegara Britain agar berhati-hati dengan risiko tersebut.

Britain, Magribi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain