suria

Jokowi Lega, Mula Rangka Barisan Kabinet

Kegembiraan Jokowi terserlah ketika mengambil bahagian dalam permainan 'Balap Karung' sempena sambutan Kemerdekaan Ke-69 Indonesia pada 17 Ogos lalu di Jakarta.
JAKARTA: Presiden terpilih Joko ‘Jokowi’ Widodo yang lega selepas perbicaraan pertikaian keputusan pilihan raya memihak kepadanya kini mula mengatur perancangan merangka barisan Kabinet yang bakal diterajuinya.


Baru-baru ini, Mahkamah Perlembagaan mengumumkan menolak rayuan calon pilihan raya presiden, Prabowo Subianto berhubung penipuan dalam pilihan raya itu.

Subianto, bekas jeneral pada zaman Presiden Suharto, mendakwa berlaku penipuan secara besar-besaran dalam pilihan raya pada 9 Julai lalu. Beliau memfailkan aduan dengan Mahkamah Perlembagaan dan mengemukakan bukti dan saksi bagi menyokong dakwaannya.

Bagaimanapun semua sembilan hakim di mahkamah memutuskan bahawa dakwaan itu tidak mempunyai asas.

Sebaik mahkamah membuat keputusan, Jokowi memberitahu bahawa beliau akan mula berunding anggota Kabinet sekarang.

"Kami akan berunding dengan Kabinet sekarang mengenai tindakan yang perlu dilakukan selepas ini serta kemungkinan masalah yang bakal dihadapi dan ia perlu segera dilakukan,” katanya.

Berdasarkan kenyataannya sebelum ini, Jokowi memaklumkan Kabinetnya akan didominasi oleh teknokrat, di mana pemilihan akan bermula pada pertengahan September sebelum pengumuman dibuat sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan pada akhir Oktober.

Jokowi dan bakal Naib Presiden, Jusuf Kalla turut mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Perlembagaan kerana sikap profesionalisme dan adil dalam menangani pertikaian itu.

“Walaupun sebahagian hakim itu datang dari kem Prabowo Subianto-Hatta Rajasa, mereka bertindak adil dalam membicarakan kes itu,” kata Jusuf.

Menurutnya, lebih baik bagi Prabowo dan Hatta tidak meneruskan tindakan undang-undang dengan membawa kes itu ke Mahkamah Agung atau Mahkamah Pentadbiran Negeri Jakarta (PTUN.)

“Keputusan Mahkamah Perlembagaan terikat pada undang-undang dan keputusannya muktamad. Jika tindakan itu diteruskan, mereka hanya akan menimbulkan masalah kepada rakyat," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain