suria

Ibu Dilihat Bertengkar Dengan Heather Sebelum Dibunuh

Heather Mack didakwa membunuh ibunya.
DENPASAR (Indonesia): Seorang wanita warganegara Amerika Syarikat (AS) yang mayatnya ditemui di dalam sebuah beg pakaian di Bali didakwa dilihat bertengkar dengan anak perempuannya di lobi hotel terbabit.

Perkara itu dimaklumkan oleh polis pada Jumaat semasa seorang peguam dari AS datang ke Indonesia untuk menasihati remaja terbabit.

Heather Mack, 19, dan teman lelakinya, Tommy Schaefer, 21, ditahan pada minggu lalu kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan ibu remaja terbabit.

Mereka bagaimanapun belum didakwa.

Mayat Sheila von Wiese-Mack yang berlumuran darah ditemui di dalam sebuah beg pakaian dalam but sebuah teksi di luar hotel St Regis di Nusa Dua.

Jurucakap polis, Ida Bagus Sarjana berkata saksi melaporkan terlihat ibu dan anak perempuan mangsa bertengkar di hotel terbabit.

Bagaimana punca pertengkaran dan masa kejadian tidak diketahui.

"Beberapa kakitangan St Regis menyaksikan pertengkaran diantara ibu dan anak perempuan mangsa. Maklumat yang saya perolehi hanya mengatakan berlaku pertengkaran, itu saja," kata Sarjana.

Peguam suspek, Michael Elkin datang ke Indonesia untuk membantu siasatan kes itu.

Elkin menasihati Heather untuk tidak memberi sebarang keterangan sehingga ketibaan beliau.

Pada minggu lalu, polis memperolehi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pasangan remaja terbabit berbual dengan seorang pemandu teksi selepas meletakkan bagasi berisi mayat bersama beberapa beg lain di luar hotel berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain