suria

Lima Cedera Dalam Insiden Di Yala Dan Pattani

PATTANI: Beberapa insiden berlaku di Wilayah Pattani dan Yala dari lewat petang Rabu hingga awal Khamis membabitkan kumpulan pemisah, mengakibatkan seorang renjer dan empat anggota polis cedera manakala tiga anggota kumpulan pemisah ditangkap. 

Di Pattani seorang anggota renjer yang sedang dalam tugas rondaan cedera parah akibat letupan bom buatan sendiri seberat 10kg dalam kejadian 7.30 pagi ditepi jalan Saiburi-Jarak Kerian di Kampung Jarak Kerian, Saiburi.

Ketua Polis Daerah Saiburi Pol. Col. Panya Khawaranan berkata bom itu ditanam di tepi jalan berhampiran tiang elektrik.

Dalam kejadian kedua pada jam 9 pagi di daerah Tungyang-Deang, empat anggotapolis cedera manakala trak yang dinaiki mereka ketika sedang meronda rosak akibat letupan bom.

Di Saiburi, juga di Pattani, pihak berkuasa menahan tiga suspek anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK) selepas lebih 100 anggota polis tentera dan Rela mengepung serta menggeledah sebuah rumah Kampung Jarak Kerian, mukim Tabing, Daerah Saiburi kira-kira 8.30 pagi.

 Ketua Polis Daerah Saiburi Pol. Col. Panya Kharawanan berkata pihak berkuasa bertindak selepas mendapat laporan perisikan bahawa rumah tersebut didiami beberapa lelaki yang disyaki terlibat dengan anggota RKK.

Dalam operasi itu, polis menahan tiga lelaki berumur 28 hingga 35 tahun, dua daripada mereka mempunyai beberapa waran tangkap.

Pihak berkuasa turut merampas senjata api pelbagai jenis dan 200 butir peluru senapang M16.

Selain itu, terdapat bahan letupan yang sedia untuk diaktifkan. 

Ketiga-tiga suspek dibawa untuk siasatan lanjutan di Balai Polis Daerah Saiburi.

Dua daripada mereka mempunyai kemahiran dalam bidang letupan, kata Panya.

Di Yala pula, berlaku beberapa insiden kejadian letupan bom berasingan tetapi tiada kecederaan atau kematian.

Ketua Polis Wilayah Yala Pol. Maj. Gen. Songkiat Watakul percaya kejadian itu perbuatan Kumpulan Pemuda Baru yang baru lulus latihan.

Dalam kejadian pada jam 8.30 malam waktu tempatan di Daerah Yaha, sebutir bom yang diletak di dalam peti telefon awam diletupkan manakala pada sekitar masa yang sama sebutir bom diletupkan di pondok lama polis di daerah Muang Yala.

Selain itu, turut berlaku dua kejadian membakar tayar dan menulis perkataan 'PATANI MERDEKA'  di atas jalan raya di Pattani-Yala.

pattani, yala, cedera, bom

Artikel Lain