suria

Robin William Dikatakan Bunuh Diri Selepas Masalah Kewangan Yang Serius

Mendiang Robin Williams, berhadapan dengan krisis kewangan yang serius di saat-saat akhir kematiannya.

LOS ANGELES: Pelawak terkemuka Robin Williams yang meninggal dunia pada Isnin kerana membunuh diri sebenarnya ditemui dalam keadaan tergantung di kediamannya dan terdapat juga kesan luka keratan pada pergelanggan tangan kirinya.

Dan yang lebih mengejutkan ialah, sebelum dia membuat keputusan untuk membunuh dirinya sendiri, Williams dilaporkan telah memberitahu beberapa kenalannya yang dia sedang berhadapan dengan masalah kewangan yang serius.

Pelakon komedi berusia 63 tahun itu juga sedang menjalani rawatan pemulihan untuk masalah depresi yang dihadapinya beberapa minggu sebelum membunuh diri.

Williams sebelum ini pernah dianggarkan mempunyai kekayaan sehingga £75 juta tetapi sebahagian besar daripada pendapatannya itu habis disebabkan kes penceraiannya sebanyak dua kali yang menyaksikannya terpaksa membayar wang alimoni kepada dua orang bekas isterinya sehingga berjumlah berjuta-juta dolar.

Masalah kewangan yang dihadapinya itu telah memaksanya untuk cuba menjual ladangnya seluas 600 ekar di California tetapi gagal walaupun telah menurunkan nilai semasa hartanah itu.

Menurut laporan akhbar Britain, The Telegraph, pihak polis telah mengesahkan yang Williams telah ditemui mati di dalam salah sebuah bilik tidur di kediamannya oleh pembantu peribadinya pada lebih kurang jam 11.55 pagi Isnin selepas ketukan pada pintu bilik tidur utamanya tidak berjawab.

Ketika mayatnya ditemui, isteri Williams, Susan Schneider sudah pun keluar meninggalkan rumah mereka untuk ke tempat kerja.

Akhbar harian itu memetik Leftenan Keith Boyd, iaitu ketua penolong koroner wilayah Marin County sebagai berkata, Williams kali terakhir dilihat masih hidup ialah pada jam 10.30 malam Ahad waktu tempatan oleh isterinya Susan.

Susan kemudiannya meninggalkan rumah mereka pada lebih kurang jam 10.30 pagi Isnin mengandaikan yang suaminya Williams masih lagi berada di dalam bilik tidur.

Menurut Boyd, pembantu peribadi Williams kemudiannya menemui pelakon veteran itu dalam keadaan berpakaian penuh dengan sebilah pisau poket yang mempunyai kesan darah berhampiran mayatnya dan juga mendapati terdapat kesan luka pada pergelangan tangan kirinya.

Di sebalik cakap-cakap yang mengatakan sepucuk nota membunuh diri telah ditemui, pihak polis dan koroner tidak dapat mengesahkannya atau pun menafikannya.

Boyd memaklumkan kepada The Telegraph bahawa laporan penuh toksikologi hanya akan diperolehi selewat-lewatnya dua minggu dari sekarang bagi menentukan sama ada ketika kematiannya terdapat bahan terlarang seperti dadah atau alkohol di dalam sistem badannya.

Williams diketahui bergelut dengan masalah ketagihan alkohol dan dadah pada tahun-tahun 1980-an sebelum pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun menjelang 2006 dia didapati kembali menagih alkohol dan pada Julai lalu dia secara sukarela mendaftarkan dirinya di sebuah pusat pemulihan di Minnesota.

Dalam satu temuramah pada 2010, aktor kelakar itu pernah menyatakan yang dia terfikir untuk mencabut nyawanya sendiri tetapi kemudian melupakan hasrat itu.

Williams dikatakan kembali menagih minuman keras selepas rancangan siri televisyennya The Crazy Ones terpaksa dihentikan hanya selepas satu episod pada Mei lalu kerana kurang sambutan.

Portal berita Amerika, Radar Online sementara itu telah memetik kenyataan salah seorang kenalan Williams yang enggan namanya disiarkan sebagai berkata: “Sejak akhir-akhir ini apa yang boleh dikatakan oleh Williams hanyalah tentang masalah kewangan yang serius yang sedang dihadapinya. Ini adalah suatu tragedi yang malang kerana Robin dikenali sebagai seorang yang pemurah dan sering menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan ketika dia berada di puncak kejayaannya dahulu tetapi kini dia menderita kerana krisis kewangan yang dihadapinya."

Williams juga kata rakannya itu telah mengadu betapa dia terpaksa menerima watak yang tidak disukainya sama ada dalam rancangan televisyen atau filem tetapi terpaksa juga kerana perlukan wang.

Malah sejak dua tahun kebelakangan ini, dia mahu melupuskan ladang dekat Lembah Napa berhampiran San Francisco kerana tidak mampu lagi untuk menyelenggarakannya.

Walaupun Williams telah menurunkan harga jualan ladang itu dari £21 juta kepada £17.8 juta tetapi tidak ada pembeli yang berminat.

Seorang lagi rakan Williams selama 30 tahun yang berpeluang menghabiskan masa bersamanya minggu lalu berkata, “saya dapat melihat sesuatu yang tidak kena pada diri dan wajahnya.

Williams baru berpindah ke kediamannya sekarang September lalu di Tiburon, San Francisco, yang mana banglo itu diwarisinya daripada ibunya pada tahun 2001.

Banglo itu jauh lebih kecil daripada kediaman sebelumnya tetapi Williams memberitahu rakan-rakan bahawa dia terpaksa mengecilkan perbelanjaannya untuk membayar bil dan lain-lain kos kehidupan.

Sejak dia bercerai dengan isteri pertamanya Valerie Velardi pada 1988 dan kemudian dengan isteri keduanya Marsha Garces pada 2008, Williams menderita akibat krisis kewangan yang teruk.

Dia terpaksa kembali ke rancangan televisyen selepas 31 tahun meninggalkannya dan pada masa yang sama terpaksa menerima tawaran daripada filem-filem berbajet rendah.

Williams pernah dipetik sebagai berkata: “Perceraian adalah tersangat mahal. Saya sering bergurau dengan berkata, mereka yang bercerai akan memanggilnya 'all the money' tetapi beralas dengan menyebutnya sebagai 'alimony'. Namun bunyinya tetap sama. Ia merampas segala-galanya dari kocek anda."

Perceraian yang dilalui oleh Williams telah menyebabkan dia kehilangan sehingga £20 juta dalam bentuk bayaran pampasan dan lain-lain tanggungan.

Dia juga terpaksa mengenepikan sejumlah wang untuk dana tiga orang anaknya iaitu Zachary, 31, Zelda, 25, dan Cody, 22.

Artikel Berikut

Artikel Lain