suria

Thailand Draf Undang-Undang Sekat Khidmat Ibu Tumpang

BANGKOK: Kegiatan menggunakan khidmat ibu tumpang yang berkembang pesat di Thailand menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Thai dan mendorong junta tentera menggubal rang undang-undang bagi menyekat kegiatan itu.

Jika draf undang-undang itu diluluskan, ia akan menyukarkan prosedur bagi menggunakan khidmat ibu tumpang terutama bagi warga asing yang menjadikan Thailand sebagai antara destinasi utama kegiatan itu sejak bertahun-tahun.

Junta tentera hari ini mengumumkan ia telah selesai menyediakan draf rang undang-undang berhubung perkara itu untuk pertimbangan Dewan Perundangan Kebangsaan untuk diluluskan.

Timbalan jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) Pattamaphorn Rattanadilok Na Phuket berkata draf itu akan dibentangkan untuk diluluskan semasa sidang NLA sekarang.

Beliau berkata, NCPO juga meluluskan draf 14 lagi rang undang-undang hari ini dan sejak ditubuhkan selepas rampasan kuasa tentera, NCPO telahpun meluluskan 52 draf undang-undang.

Mesyuarat mingguan NCPO dipengerusikan Ketua NCPO, Jen Prayuth Chan-ocha di markas tentera di sini.

Undang-undang itu bertujuan melindungi kanak-kanak yang lahir di bawah prosedur itu selepas pendedahan bahawa mungkin beratus-ratus, jika tidak ribuan, kanak-kanak lahir melalui khidmat ibu tumpang sejak beberapa tahun lepas.

Isu ibu tumpang mendapat perhatian susulan laporan bahawa pasangan dari Australia meninggalkan Gammy, bayi lelaki yang menghidap down sindrom tetapi mengambil kembar perempuan Gammy yang sihat.

Pasangan itu kemudian berkata, mereka mahu bayi lelaki itu juga.

Pendedahan itu kemudian membawa kepada penemuan sembilan bayi yang lahir melalui ibu tumpang dengan bapa yang sama di sebuah kondominium di bahagian tengah Bangkok dua minggu lepas dan seorang warga Jepun yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kes pula menghilangkan diri.

Peruntukan utama dalam rang undang-undang itu antara lain mewajibkan pasangan yang ingin mempunyai anak melalui ibu tumpang berkahwin secara sah dan ibu tumpang berkenaan mestilah mempunyai pertalian saudara dengan satu daripada pasangan itu tetapi bukannya ibu bapa kanak-kanak pasangan itu.

Ibu tumpang mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak sebelum bersetuju menjalankan prosedur itu dan jika mempunyai suami, dia mesti mendapat kebenaran daripada suaminya dahulu.

Menggunakan khidmat ibu tumpang berunsurkan komersial tidak dibenarkan.

Menurut draf undang-undang berkenaan, khidmat ibu tumpang hanya boleh dijalankan dengan menanam embrio daripada telur melalui persenyawaan menggunakan sperma suaminya ke dalam rahim ibu tumpang.

Hukuman ke atas mereka yang melanggar undang-undang itu adalah penjara setahun hingga 10 tahun dan denda 20,000 baht hingga 200,000 baht.


Thailand, ibu tumpang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain