suria

Cicit Jutawan Minyak AS Maut Nahas Kapal Terbang

NEW YORK: Richard Rockefeller, cicit kepada dermawan dan jutawan minyak AS, John D. Rockefeller, meninggal dunia dalam nahas kapal terbang di New York, JUmaat.

Beliau berusia 65 tahun.

Richard bersendirian dalam sebuah pesawat enjin tunggal ketika ia terhempas berhampiran lapangan terbang di White Plains, kira-kira 35 batu (55 kilometer) di utara New York.

Pesawat Piper PA-46 terhempas sekitar pukul 8.10 pagi (1210 GMT) kira-kira satu batu dari barat daya lapangan terbang, kata Agensi Penerbangan Persekutuan (FAA).

FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara sedang menyiasat punca kemalangan itu, kata jurucakap FAA Kathleen Bergen kepada AFP.

Richard sedang mengendalikan kapal terbang untuk pulang ke Portland, Maine selepas melawat New York untuk menyambut ulang tahun ke-99 bapanya.

"Ini adalah satu tragedi yang dahsyat untuk keluarga Rockefeller," kata jurucakap Fraser Seitel.

"Richard adalah seorang bapa, anak, abang, suami dan datuk yang baik dan dihormati," kata Seitel.

"Dia adalah seorang juruterbang berpengalaman, dengan profesionnya sebagai seorang doktor perubatan."

Selain doktor dan beliau juga merupakan profesor di sekolah perubatan di Maine hingga tahun 2000 dan masih terlibat dengan aktiviti berkaitan kesihatan bukan berasaskan keuntungan, menurut biografi beliau di laman web Yayasan Rockefeller Brothers.

Artikel Lain