suria

Warga Britain Dilarang Ambil Anak Angkat Di Singapura

Gambar hiasan.
SINGAPURA: Singapura melarang warga Britain daripada mengambil anak angkat di sini, lapor akhbar tempatan The Sunday Times. 

Menurut laporan itu, larangan berkenaan dipercayai adalah yang pertama dikenakan terhadap warganegara daripada mana-mana negara tertentu mengambil anak angkat di Singapura.

Langkah itu adalah sebagai respons kepada keputusan Great Britain pada Januari untuk menggugurkan Singapura daripada senarai negara yang mengiktiraf pengambilan anak angkat secara automatik.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Britain memberitahu akhbar itu bahawa Singapura dikeluarkan daripada senarai kerana ia tidak menandatangani Konvensyen Hague mengenai Pengambilan Anak Angkat Antara Negara.

Konvensyen Hague mengenai Pengambilan Anak Angkat Antara Negara merupakan perjanjian antarabangsa diwujudkan untuk melindungi kepentingan terbaik untuk anak angkat.

Antara lain, negara-negara anggota perlu memberi perlindungan untuk mencegah penculikan, penjualan atau pemerdagangan kanak-kanak bagi pengambilan anak angkat.

Sehingga kini lebih 90 negara menandatangani konvensyen itu terdiri daripada negara membangun seperti Burkina Faso, India dan Filipina hingga negara maju seperti Australia, Great Britain dan Amerika Syarikat.

Singapura tidak menandatangani konvensyen itu.

Jurucakap Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga memberitahu The Sunday Times, ia kini 'sedang mengkaji untuk menandatangani' konvensyen itu.
anak angkat, larangan, Singapura, Britain

Artikel Lain