suria

AirAsia India Perlu Benarkan 15KG Bagasi Daftar Masuk Percuma

NEW DELHI: Seperti mana syarikat penerbangan India lain, AirAsia India juga perlu membenarkan 15 kilogram bagasi daftar masuk percuma bagi setiap penumpang, kata Direktorat Penerbangan Awam (DPA) India. 

Ketua DPA, Prabhat Kumar juga telah mengarahkan syarikat penerbangan berkenaan mengurangkan beberapa caj lain yang diperkenalkannya, tetapi didapati 'terlalu tinggi' olehnya, lapor akhbar Hindustan Times.

Ketika ia membuka tempahan 30 Mei lalu, AirAsia India memutuskan untuk mengenakan caj Rs199 (RM10.84) ke atas bagasi sehingga 15 kilogram. 

Bagaimanapun, badan regulatori penerbangan itu campur tangan dan mengarahkan syarikat penerbangan yang memulakan operasi pada 12 Jun ini untuk menghentikan caj untuk bagasi daftar masuk.

Menurut laporan itu, DPA juga menggesa AirAsia mengurangkan caj 'tinggi' untuk membawa peralatan sukan kerana ketika ini ia mengenakan Rs799 (RM43.46)
untuk sehingga 15 kilogram. 

Syarikat penerbangan itu juga telah diarah mengurangkan caj tempat duduk pilihan kepada Rs500 (RM27.20), sama dengan syarikat penerbangan lain di India daripada Rs600 (RM32.64).

Sesuatu syarikat penerbangan hanya boleh mengenakan bayaran khas untuk 25 peratus daripada tempat duduk dalam sesebuah pesawat. AirAsia India didapati telah mengenakan bayaran khas untuk kira-kira 27 peratus daripada tempat duduk, kata harian Inggeris itu.

"Syarikat penerbangan berkenaan telah diminta meminta kebenaran daripada DPA terlebih dulu sebelum mengenakan sebarang caj baharu," kata Prabhat Kumar. 

bagasi, AirAsia India

Artikel Lain