suria

Sistem Pengangkutan Singapura Antara Paling Cekap Di Dunia

SINGAPURA: Singapura mempunyai rangkaian pengangkutan terbaik dalam kalangan bandar raya sejenis dengannya dan bandar raya lain di seluruh dunia boleh mendapat manfaat daripada pengalamannya.

Perkara itu disahkan berdasarkan satu kajian bertajuk "The Mobility Opportunity" yang dikendalikan oleh firma perunding bertempat di London, Credo.

Kajian yang ditugaskan oleh Siemens dan dibentangkan pada Isnin di Singapura itu, mengkaji rangkaian pengangkutan di 35 bandar raya utama di seluruh dunia dan menilai sejauh mana bandar raya bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan, termasuk pertumbuhan pengangkutan dan persaingan yang semakin sengit.

Menurut kajian itu jika kesemua 35 bandar raya yang terbabit dalam kajian itu melaksanakan piawaian yang "terbaik dalam kelasnya" bandar-bandar itu berpeluang meraih hingga AS$238 bilion setahun menjelang 2030.

Hari ini faedah berpotensi ialah kira-kira AS$360 bilion setahun.

Memandangkan sistem berkapasiti tinggi boleh memenuhi permintaan dengan kesesakan minimum dan tahap kefungsian pengguna yang tinggi, Singapura sememangnya boleh menampung pertumbuhan pada masa akan datang, dakwa kajian itu.

Singapura dipuji kerana perancangan jangka panjangnya dengan dibantu oleh tadbir urus bersepadu tahap keandalan dan ketepatan masa, dan penyediaan penyaman udara dalam hampir kesemua kenderaan pengangkutan awamnya. 

Satu-satunya kelemahan Singapura ialah ketumpatan rangkaian yang rendah, yang menyebabkan beberapa bahagian tidak menikmati perhubungan yang baik, tetapi apa yang diperlukan untuk mengekalkan kedudukannya sekarang hanyalah rancangan pembangunan jangka panjang dan pelaburan berterusan untuk mengekalkan piawaian tinggi sekarang, kata laporan itu. 

"Semakin cekap rangkaian pengangkutan sesebuah bandar raya itu, semakin menariklah ia kepada perniagaan dan orang," kata Chris Molloy, Rakan Kongsi Credo.

Menurut kajian itu, bandar merupakan enjin pertumbuhan akan datang. 

Bandar-bandar ini menjana 80 peratus pengeluaran ekonomi global, tetapi dalam sebuah ekonomi yang global sifatnya, dengan perniagaan dan tenaga kerja semakin dapat berpindah ke peringkat antarabangsa, bandar-bandar ini perlu bersaing untuk menawarkan persekitaran paling menarik bagi kegiatan ekonomi. 


Singapura, pengangkutan awam, cekap

Artikel Lain