suria

Dua Maut Di Selatan Thai

PATTANI: Dua lelaki warga emas dibunuh di selatan Thailand dalam modus operandi yang mempunyai ciri-ciri serupa dengan yang dilakukan kumpulan pemisah.

Dalam kejadian 8.30 pagi tadi di Pattani, seorang pesara tentera berusia 58 tahun dan juga abang kepada Ketua Daerah Tungyangdeang, Pattani, Savet Pechnui, ditembak dan mayatnya dibakar.

Ketua Polis Daerah Khokpo Pol Kol Kampanth Panichprasert berkata mangsa ditembak dari jarak dekat di kepala dan badan ketika sedang melakukan senaman pagi dengan berbasikal di Kampung Suan Nok, Daerah Khokpo, Pattani.

Mayat mangsa kemudian dibakar berdekatan dengan basikalnya dan bagi melambatkan kedatangan pihak berkuasa, jalan masuk ke tempat kajadian ditabur paku dan benda-benda mencurigakan, kata beliau.

Di Yala, bekas Pengarah Bahagian Pembangunan Ekonomi Masyarakat Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan, Wuttisak Suwang, 62, mati setelah ditembak ketika sedang memandu kereta dari Bandar Yala menuju ke Hatyai.

Kejadian berlaku pada 1.20 tengah hari ini.

Malam tadi di sempadan antara daerah Nongchik dengan daerah Khokpo beberapa buah rumah orang awam ditembak pada 11 malam waktu tempatan dan beberapa minit kemudian letupan berlaku di tempat kejadian yang berdekatan kem tentera.

Ketua Polis Daerah Nongchik Pol Kol Manith Yimsai berkata penyerang menggunakan taktik itu sebagai perangkap supaya pegawai keselamatan memeriksa tempat kejadian.

Bagaimanapun, letupan bom berlaku sebelum pegawai keselamatan masuk ke kawasan kejadian dan ini menyelamatkan mereka.

Sejak semalam, seluruh Thailand berada dalam Undang-undang Tentera berikutan konflik politik yang memanjang hingga berbulan-bulan sekarang.

Namun begitu, tiga wilayah selatan negara itu berada di bawah undang-undang tentera selama 10 tahun berikutan aktiviti kumpulan pemisah. 


Selatan Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain