suria

Polis Singapura Tahan 18 Kaki Judi Piala Dunia

Sindiket perjudian semakin rancak untuk memulakan kegiatan sempena Piala Dunia yang bakal berlangsung Jun ini.

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 18 orang ditahan termasuk dua wakita kerana disyaki terbabit dalam sindiket perjudian bola sepak Piala Dunia mencecah jutaan dolar.

Kerakyatan semua pihak terbabit yang ditahan dalam operasi dua hari pada Ahad dan Isnin itu tidak didedahkan.

Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis, Kenny Tan, berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima pertaruhan bola sepak haram berjumlah anggaran SG$8 juta (RM20.5 juta) sejak dua minggu lalu.

Selain itu, sejumlah wang tunai bernilai SG$1.4 juta (RM3.6 juta) selain komputer, telefon bimbit dan dokumen pertaruhan serta rekod transaksi bank dirampas ketika serbuan itu.

“Pengendali judi dan kaki judi yang menyangka mereka boleh berselindung di sebalik kesalahan jenayah internet ini perlu berfikir dua kali.

“Polis akan mencari mereka dan mendakwa kedua-dua pengendali dan kaki judi mengikut undang-undang sedia ada,” katanya yang memberi amaran menerusi kenyataan itu.

Jika sabit kesalahan suspek boleh didenda antara SG$20,000 (RM51,360) hingga SG$200,000 (RM513,600) dan lima tahun penjara.

Pertaruhan sukan menjadi tumpuan di Singapura dengan perlawanan liga Eropah adalah antara yang paling digemari di kalangan kaki judi.

Lembaga Totalisator Singapura yang menguruskan dua syarikat loteri dan pertaruhan bola sepak sah di negara itu mendapat pulangan sebanyak $983.3 juta (RM2.52 bilion) setahun sehingga Mac 2013, daripada keseluruhan populasi berjumlah 5.4 juta.

Tahun lalu, polis Singapura menahan 14 orang dipercayai ahli sindiket menyusun perlawanan seluruh dunia termasuk dalangnya, Dan Tan.

Pada Jun 2013, tiga pengadil Lubnan disabitkan bersalah oleh sebuah mahkamah Singapura kerana menerima khidmat seks sebagai balasan menyusun perlawanan.

Ahli perniagaan Singapura, Eric Ding yang didakwa menawarkan rasuah itu kini menjalani perbicaraan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain