suria

Anak Selebriti Diajar Kerja Sambilan Untuk Wang Saku

IBUNYA adalah seorang selebriti dan bapanya adalah pemain bolasepak terkenal dunia dan keluarganya bernilai £165 juta tetapi nampaknya  Brooklyn Beckham (foto) telah diasuh untuk menghargai nilai wang apabila dia perlu bekerja di hujung minggu untuk memperolehi duit poketnya sendiri.

Anak sulung bekas penyanyi Spice Girl, Victoria dan David Beckham yang berusia 15 tahun itu kini telah memulakan kerja di hujung minggu di sebuah kafe di Barat London di mana dia dibayar £2.68 sejam.

Oleh kerana dia masih lagi berusia 15 tahun, Brooklyn tidak dibenarkan bekerja melebihi tujuh jam dan harus diberi waktu rehat selama sejam selepas empat jam bekerja.

Akhbar The Mail Online melaporkan yang salah seorang kakitangan kafe berkenaan yang tidak mahu namanya disiarkan telah mengesahkan yang Brooklyn telah pun bertugas selama beberapa syif dan kerjanya sangat memuaskan hati majikannya.

Beckham yang berasal dari keluarga yang sederhana dikatakan menjadi pendorong kepada anaknya Brooklyn bekerja secara sambilan untuk memperolehi wang saku sedangkan kekayaan yang mereka ada tidak memerlukan mereka untuk berbuat demikian.

Tetapi oleh kerana Beckham berasal dari latarbelakang keluarga yang berpendapatan sederhana, dia tidak mahu anak-anaknya hidup mewah tanpa tahu menghargai nilai mata wang untuk menyara hidup.

Beckham dan isterinya Victoria mempunyai tiga orang anak lelaki lagi iaitu Romeo, 11, Cruz, sembilan dan Harper, dua tahun.

Bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu pernah dipetik sebagai berkata: "Kami cuba membina keluarga ini dengan memberi teladan yang baik iaitu dengan menunjukkan kepada mereka (anak-anak) akan pentingnya bekerja keras untuk berjaya dalam hidup.

Artikel Lain