suria

Ahok Dijangka Tepati Ramalan Etnik Cina Pertama Jadi Gabenor Indonesia

Ahok bakal catat sejarah etnik Cina pertama dilantik Gabenor di Indonesia.

JAKARTA: Pilihan Raya Presiden Indonesia yang hanya berakhir Julai ini mencatat sejarah apabila pemimpin etnik Cina pertama dijangka dipilih untuk mengisi jawatan Pemangku Gabenor Jakarta.

Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai ‘Ahok’ bakal menepati ramalan mencapai kejayaan itu di negara dengan 95 peratus penduduk asalnya beragama Islam, jumlah terbesar di dunia.

Kaum Cina di Indonesia mewakili hanya dua peratus daripada 240 juta penduduk negara itu.

Terkenal kerana kawalan terhadap perdagangan, perniagaan dan dikatakan begitu setia kepada China, Cina-Indonesia dipinggirkan daripada politik dan tentera sepanjang 70 tahun sejak kemerdekaan negara itu.

Ahok yang beragama Kristian menggantikan Joko ‘Jokowi’ Widodo yang meletak jawatan untuk bertanding bagi Pilihan Raya Presiden pada 9 Julai ini dan tinjauan mendapati beliau dijangka menang.

Ahok secara automatik akan mengambil alih jawatan untuk melengkapkan tempoh penggal lima tahun Jokowi, jika beliau menang dalam pilihan raya terbabit.

Pengkritik Pemangku Gabenor Jakarta itu kebanyakan mengkritik cara pemerintahannya dan bukan latar belakang Ahok.

“Rakyat mengundi berdasarkan prestasi mereka hari ini.

“Ia bukan mengenai kaum, agama atau idea primordial siapa yang patut memerintah,” kata Ahok kepada Reuters dalam satu temu bual di pejabatnya pada April lalu.

Berbeza dengan Jokowi yang berbahasa Jawa dan bercakap lemah lembut, Ahok mendapat reputasi kerana menjadi seorang yang tidak takut untuk menggegarkan birokrasi yang lemah.

Malah Ahok pernah berkata:“Jika mereka enggan mematuhi kita, mereka boleh keluar. Kadang kala kita perlu menyingkirkan mereka. Pastinya mereka akan marah tetapi kita tidak kisah."

Artikel Sebelum

Artikel Lain