suria

Bot Sarat 400 Pendatang Asing Karam

Gambar Hiasan

ROME, ITALI: Sebuah kapal pendatang asing sarat dengan 400 penumpang karam di perairan antara Libya dan Itali lewat malam Isnin dalam siri tragedi bot karam terbaharu di Laut Mediterranean.

Insiden itu berlaku kira-kira pukul 1100 GMT waktu tempatan dan kira-kira 100 batu nautika (185 kilometer) di selatan Pulau Lampedusa, lokasi paling selatan Itali. Kawasan itu lebih dekat dengan pesisir pantai Libya berbanding Itali.

Tentera laut negara itu berkata, seramai 14 terkorban, manakala 200 lagi dapat diselamatkan selepas kapal itu tenggelam dan baki 186 mangsa lagi masih belum ditemui.

“Semua 14 mayat sudah diperoleh. Kakitangan perubatan di Sirio dan Grecale kini memberikan bantuan kepada mereka yang terselamat,” kata tentera laut Itali dalam laman Twitter, merujuk kepada dua kapal perang di tempat kejadian.

Dua kapal peronda sempadan Itali dan beberapa kapal perdagangan dikerah di kawasan itu dalam operasi menyelamat di tengah laut, kata sumber tentera laut berkenaan. Helikopter turut digunakan dalam misi itu.

Libya sudah lama menjadi jalan mudah warga Afrika mencari kehidupan lebih baik di Eropah dan jumlah transit haram daripada pesisir pantai negara itu kini semakin meningkat.

Beratus-ratus pendatang asing mendarat di Itali hampir setiap hari, kebanyakan daripada mereka adalah pencari suaka dari Eritrea, Somalia dan Syria.


Artikel Lain