suria

Duta Jordan Diculik Di Libya Dibebaskan

Gambar fail Fawaz Aitan, yang diculik di Tripoli pada bulan lalu telah dibebaskan. Foto AP

AMMAN: Duta Jordan ke Libya, Fawaz Aitan, yang diculik di Tripoli pada bulan lalu, dibebaskan, kata stesen televisyen di negara Utara Afrika pada Selasa.

Aitan dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas dibebaskan, kata stesen televisyen berkenaan yang memetik Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh sebagai berkata.

"Duta berada dalam keadaan baik dan beliau kini dalam perjalanan pulang ke negaranya," kata Judeh, yang dipetik sebagai berkata tanpa menjelaskan mengenai keadaan Aitan selepas dibebasakan.

Sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata menculik Aitan pada pertengahan April lalu ketika beliau dalam perjalanan ke tempat kerja di Tripoli, dengan melepaskan tembakan ke arah kenderaannya dan mencederakan pemandunya.

Insiden itu merupakan salah satu daripada kejadian yang menyasarkan para pemimpin Libya dan diplomat asing. Bagaimanapun, tiada pihak yang bertanggungjawab di atas penculikan Aitan.

Menurut beberapa sumber di Tripoli berkata, penculik menuntut pembebasan Mohammed al-Dursi, yang turut disebut sebagai Mohammed al-Noss, seorang pejuang jihad warga Libya yang ditahan di Jordan selama lebih tujuh tahun berhubung dakwaannya terlibat dalam rancangan untuk mengadakan serangan ke atas lapangan terbang di Amman.

Seorang kakitangan dan seorang diplomat di Kedutaan Tunisia di Libya turut diculik di Tripoli, masing-masing pada 21 Mac dan 17 April.

Menurut Tunisia, penculik terbabit menuntut supaya membebaskan dua warga Libya yang terlibat dalam aktiviti "keganasan" di Tunisia. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain