suria

Feri Ro-Ro Bakal Hubungkan China - Korea Selatan

Gambar Hiasan

JINAN: Buat pertama kali dalam sejarah, China dan Korea Selatan bakal dihubungkan dengan perkhidmatan feri penumpang ro-ro, bermula Julai ini.

Agensi berita Xinhua melaporkan perkhidmatan itu akan menghubungkan bandar Yantai dan Pyeongtaek di kedua-dua negara berkenaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Yantai Bohai International Ferry Co. Ltd (YBIFC), Yu Xinjian berkata, laluan feri Stena Egeria itu membabitkan Yantai di wilayah Shandong, timur China dengan bandar pelabuhan Korea Selatan, Pyeongtaek yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) di selatan Seoul.

Sementara itu, Wang Jianbo dari Bohai Ferry Co. Ltd yang juga syarikat induk YBIFC, berkata feri itu akan menjadi pengangkutan untuk kereta dan bas.

"Selain penumpang dan kontena, feri itu akan membawa kereta dan bas pelancong antara kedua-dua bandar berkenaan," katanya.

Sumber dalam kalangan penggendali feri itu berkata, jadual perjalanan feri itu ditetapkan tiga kali seminggu dengan setiap laluan sehala sejauh 506 km untuk tempoh 15 jam.

Feri sepanjang 186.5 meter dengan kelajuan 23 knot itu boleh memuatkan seramai 518 penumpang dengan berat kasar 24,418 tan.




Artikel Sebelum

Artikel Lain